Thursday, August 22, 2013

Dr Agus, Sila Ke Kelantan..

Nik Amar jawab Dr Agus, pelawa pengkaji politik itu ke Kelantan
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah mempelawa pengkaji politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk datang ke Kota Bharu bagi menjelaskan segala kekeliruannya mengenai kerajaan negeri itu.

Tawaran itu dibuat Nik Amar dalam satu pertemuan eksklusif dengan The Malaysian Insider di pejabat beliau semalam.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan tindakan orang ramai dan Agus yang terus menerus mempertikaikan kerajaan negeri termasuk mengapa Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan.

"Orang seperti Agus ini harus memahaminya. Dia anak Kelantan, takkan tidak tahu. Jika dia tidak puas hati, saya bersedia jumpa dia di pejabat saya di Kota Bharu bila-bila masa," katanya.

Agus sehingga kini membuat tiga tulisan mengenai apa yang berlaku di Kelantan selepas pilihan raya umum ke 13 (PRU13) melalui facebooknya dan disiarkan juga oleh The Malaysian Insider.

Bermula dengan tulisan tiada keghairahan baru dalam 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baru di Kelantan, apa yang berlaku kepada projek lebuhraya rakyat, stadium baru dan masalah bekalan air bersih di Kelantan.

Dalam tulisan terbarunya, Agus menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau ekoran tulisannya.

Nik Amar sebelum ini pernah menjawab tulisan pertama Agus melalui kenyataannya kepada The Malaysian Insider.

"Saya mempertikaikan tulisan itu kerana dia mendakwa kerajaan negeri Kelantan kekeringan idea. Saya tidak tolak untuk dikritik. Tetapi dari mula lagi tulisan dia kata kerajaan Kelantan kekeringan idea," katanya.

Kata Nik Amar, selepas mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri lagi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub mengisytiharkan dua projek besar iaitu mahu menyiapkan 3,000 rumah mampu milik dalam masa lima tahun ini.

Menteri Besar juga, katanya mengumumkan dasar mesra keluarga iaitu menempatkan pekerja dekat dengan kediamannya.

"Jadi bagaimana orang bertaraf profesor seperti Dr Agus terlepas semua perkara ini. Itu isu saya. Langsung dia tidak sebut dalam tulisannya," katanya .

Bagi Nik Amar, Agus perlu menyebut apa yang kerajaan negeri Kelantan buat sebelum mengkritiknya.

"Soal setuju tidak setuju perkara kedua. Tetapi kalau dia tertinggal dua perkara penting ini, macamana seorang profesor pengkaji Kelantan boleh tertinggal semua perkara ini," katanya.

Husam Musa
Nik Amar juga melahirkan rasa kesalnya terhadap pihak yang terus menerus mempertikaikan mengapa Husam tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan.

Beliau menegaskan, sudah beberapa kali diberitahu bahawa ia hak Istana Kelantan untuk menerimanya atau tidak.

"Dari mula lagi apabila orang bertanya kenapa Datuk Husam tidak dilantik, Menteri Besar sudah jelaskan. Soalnya adalah istana tidak berkenan. Saya meminta semua orang menghormati perkara ini sebab ini hak istana," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Beliau memberikan beberapa contoh apa yang berlaku di negara ini termasuk kes Datuk Rahim Bakar di Pahang, Dr Rani Othman di Selangor, Datuk Ghazali Jawi dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di Perak.

"Ia bukan berlaku hari ini tetapi berlaku sejak sekian lama. Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Rani Osman tidak diterima sebagai Exco kerajaan negeri di Selangor. Ini hak sultan.

"Di Kelantan, Menteri Besar sudah jelaskan perkara ini, kenapa tidak boleh terima penjelasannya. Adakah anda mempertikaikan integriti beliau atau adakah anda mendakwa beliau berbohong.

"Kalau kita hendak bercakap kasar, (Profesor Dr) Agus misalnya, pergi ke istana dan tanya," katanya.

"Saya kecewa dengan dia," katanya.

Lebuh raya rakyat
Berhubung dengan lebuh raya rakyat, timbalan menteri besar Kelantan itu menjelaskan, kerajaan negeri menerima kertas cadangan sebuah syarikat untuk membuat kajian bagi pelaksanaannya.

Syarikat ini, katanya, diberikan masa selama tiga bulan untuk membuat kajian termasuk bagaimana hendak melaksanakannya serta sumber kewangan.

"Ada dua bulan lagi masa mereka. Kita tidak perlu membayar apa-apa jika kita tidak melaksanakannya tetapi jika kita melaksanakannya, syarikat ini minta mereka diberikan peluang untuk melaksanakannya.

"Keputusan jelas jika kerajaan pusat tidak buat, kita akan buat. Cuma isunya bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau meminta orang ramai jangan salah faham bahawa kerajaan negeri mengubah keputusan kerana kerajaan negeri kekal dengan keputusan sebelum untuk melaksanakan projek itu.

Beliau memberikan analogi mahu membuat kenduri kahwin.

"Kita sudah setuju nak buat kenduri kahwin, soalnya, duit itu datangnya dari mana, siapa yang hendak kita panggil, siapa keteringnya. Itu isunya. Bukan kata tidak mahu kahwin," katanya. - 21 Ogos, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular