Wednesday, February 1, 2012

HARI-HARI TERAKHIR SI ‘RAJA KATAK’?

DATUK Seri Panglima Lajim Haji Okin, tokoh kontroversi di persada politik Sabah mula terkenal apabila menjadi ‘Katak Terawal’ yang melompat ke Kolam Barisan Nasional sebelum diikuti Datuk Rubin Balang dan beberapa lagi ‘Berudu’ sehingga Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memenangi Pilihanraya Umum 1994 dengan majoriti mudah; tumbang setelah Lajim, Rubin, Zaini dan beberapa ADUN PBS berpaling tadah.

Kini setelah 17 tahun menikmati pelbagai kemewahan sebagai ADUN dan Ahli Parlimen UMNO, khidmat Lajim tidak diperlukan lagi dan lazimnya ‘katak’ secara rasmi akan menjadi makanan ular; menyebabkan Lajim bertindak cuba melompat tinggi untuk menunjukkan bahawa beliau masih mempunyai pengaruh politik; terutama setelah memimpin PERKIM Sabah dan Persatuan Bisaya Sabah.

Namun ketokohannya dalam PERKIM tidak begitu menyerlah berbanding kedudukannya sebagai Timbalan Yang Di Pertua USIA suatu ketika dahulu kerana beliau pernah mengadakan Majlis PERKIM dan mengganggarkan 2,500 orang yang hadir; tetapi hakikatnya hanya 250 sahaja yang muncul di majlis besar-besaran berkenaan.

Sebagai seorang seniman politik yang boleh membawa pelbagai watak, Lajim yang pernah dinobatkan memenangi award ‘Raja Katak Politik Sabah’ pada 1994, kini cuba melakonkan drama komedi terbaru ‘Gua Lompat, BN Mati’; dengan muncul secara mengejut dan berucap di pentas yang salah, terutama di majlis anjuran Pembangkang.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Silam, ‘dr’ Salleh Kalbi menghadiri dan berucap di majlis SAPP setelah SAPP keluar daripada BN; tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil melainkan tidak diperkenan sebagai Pengerusi BN Silam, walaupun majoriti parti komponen mencadangkan beliau bagi meneruskan tradisi BN melantik Ahli Parlimen sebagai Pengerusi BN.

Walaupun Lajim membuat kenyataan bahawa beliau hadir dan berucap di Majlis Pembangkang atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri, tetapi Lajim terlupa Kod Etika BN yang mengharamkan sebarang bentuk sokongan terhadap pembangkang, apatah lagi turut berucap dan mendedahkan rahsia kegagalan kerajaan BN di pentas terbuka.

Memang ucapan Lajim ada benarnya kerana berjaya menjolok jantung Najib yang terkedu dengan kegagalan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang dipimpin oleh ‘Golden Eye Boy’ Najib, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kerana semua pembangunan yang dilaksanakan di Beaufort tidak dapat berfungsi sepenuhnya disebabkan karenah birokrasi dan kesilapan perancangan dan kecuaian pelaksanaan.

Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dilaksanakan KKLW dengan kos ratusan juta ringgit hanya seperti ‘hiasan musim Krismas’ kerana dibina separuh jalan dan tidak sampai kepada pengguna disebabkan lebih mengutamakan keuntungan berlipat ganda (Projek Top-Up) kontraktor daripada kepentingan awam.

Lompatan tinggi ‘Raja Katak’ kali ini tidak berjaya melepasi pagar kawat yang direntang BN dan Parti Pembangkang sehingga semua melihat Lajim tersangkut pada kawat berduri; apatah lagi pemimpin pembangkang menyifatkan kehadiran Lajim di majlis mereka sebagai ‘Bom Jangka’ yang dihantar BN untuk memusnahkan Pakatan Rakyat daripada dalam.

“Dia bukan bersama kita, tetapi senjata BN untuk merapuhkan pertahanan Pakatan Rakyat. Kita tahu siapa Lajim dan dia sanggup melakonkan apa juga watak asalkan dapat wang dan pangkat,” ujar seorang pemimpin DAP Sabah yang meminta agar namanya dirahsiakan bagi mengelak kekeliruan.

Bagaimanapun, ramai pemimpin BN Sabah berpendapat Lajim tidak akan berani meninggalkan BN, sekalipun mendapat tawaran lumayan kerana terikat dengan beberapa Skandal Rasuah dan Penipuan bagi membiayai kegiatan songsangnya di Kasino.

Pada saya, Lajim melakukan ‘Watak Antagonis’ semata-mata untuk meraih simpati dan menunggu Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Ketua Special Branch Sabah memujuk beliau dan memperkenankan permintaan beliau untuk terus mewakili Beaufort, sekurang-kurangnya bagi satu penggal lagi.

Dalam hal ini, Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Ketua SB Sabah sewajarnya berterus terang bahawa watak Lajim telah ditamatkan pada Sayembara Pilihanraya Umum Ke 13, kerana tidak lagi relevan dan bukannya ‘Winnable Candidate’.

Kasihan Lajim menunggu jawapan dan pinangan yang tidak pasti!  - sabahkini.net

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular