Tuesday, January 31, 2012

"Bagaimana beliau jadi wakil rakyat?"

Nur Jazlan tidak puas hati orang Seletar heret pembangkang
Jan 31, 2012 Ahli parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed tidak puas hati apabila komuniti orang Seletar mengheret DAP untuk menyelesaikan kes perataan tanah kawasan kubur orang asli, dakwanya. Malah, Nur Jazlan mendakwa bahawa wakil orang Seletar, Edy Salim tidak mendengar penjelasannya.

"Kalau dia nak sokong pembangkang, sokonglah! Kenapa panggil pembangkang?" kata Nur Jazlan ketika dihubungi MerdekaReview, hari ini. Menurut Nur Jazlan, beliau difahamkan bahawa DAP terlibat dalam satu lawatan ke kawasan kubur orang Asli pada minggu lalu.

Sebelum ini, komuniti orang Seletar mendakwa bahawa ahli parlimen Nur Jazlan, bersama ADUN Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng tidak turun untuk menjenguk setelah kawasan kubur orang asli diratakan, malah tidak mengambil berat tentang kes pengambilan tanah adat.

Walau bagaimanapun, Nur Jazlan menjelaskan bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk memahami isu perataan kawasan kubur tersebut, kerana sesetengah pihak mendakwa bahawa tanah perkuburan itu tidak diwartakan sebagai tanah rizab orang Asli.

Semalam, rombongan 11 orang dari komuniti Orang Seletar telah menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk mengadu kes perataan tanah kubur tradisi.

Menurut Edy Salim (gambar kanan), wakil orang Seletar, mereka pernah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali dengan Nur Jazlan sebelum tanah kubur diratakan, namun tidak berhasil. Dalam dua pertemuan tersebut, Nur Jazlan dikatakan hanya mampu memaklumkan isu ini kepada kerajaan negeri kerana ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan dirinya hanya seorang ahli parlimen.

Edy Salim menambah, sahabatnya juga meminta pertolongan ADUN MCA, Chia Song Cheng untuk turun melawat ke kawasan tersebut, namun tidak berhasil. Edy Salim menunjukkan kandungan sms yang disampaikan sahabatnya, mendakwa Chia Song Cheng seharusnya maklum perkara ini, tetapi tidak kelihatan menampilkan diri.

Edy juga menyanggah kenyataan Chia sebagaimana yang dilaporkan dalam Harian Metro, November 2011. Menurut laporan bertajuk "Sumber rezeki terjejas" ini, Chia mendakwa dirinya pernah melawat kampung yang terlibat pada Ogos 2011, malah membuat taklimat untuk melaporkan perkembangan terbaru. Namun, Edy Salim berkata dirinya tidak tahu bilakah Chia berjumpa dengan orang asli, malah mempertikaikan, "Bagaimana beliau jadi wakil rakyat?"

*Lu Wei Hoong - wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan disunting dari teks asal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular