Wednesday, August 17, 2011

Merdeka Center : Hubungan Pelbagai Kaum Di Malaysia Menurun

Tinjauan Merdeka Center mendapati bilangan rakyat Malaysia yang merasakan hubungan etnik di negara ini adalah baik menunjukkan penurunan peratus sebanyak 12 peratus daripada 78 peratus kepada 68 peratus dalam tempoh 63 bulan.

Pengurus Penyelidikan Merdeka Center, Tan Seng Keat berkata, tinjauan yang sama juga mencatatkan kajian yang bermula pada bulan Februari 2006 hingga Mei 2011 itu mendapati bilangan rakyat Malaysia yang percaya bahawa perpaduan etnik atas dasar 'ikhlas dan mesra' menurun dengan ketara.


"Daripada 54 peratus pada tahun 2006 kepada 35 peratus pada tahun 2011, mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus. Sebaliknya, bilangan orang-orang yang merasakan perpaduan etnik adalah 'cetek' meningkat daripada 29 peratus kepada 44 peratus,"katanya dalam satu kenyataan media.

Tinjauan itu dilakukan oleh Merdeka Center antara 24 Mei dan 8 Jun 2011 untuk menilai persepsi pengundi negara berhubung hubungan etnik di negara ini.

Seramai 1013 pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia terdiri daripada 602 Melayu, 322 Cina dan 89 responden India telah dipilih dan ditemubual melalui telefon dalam kaji selidik yang dibuat.

Kata Tan Seng Keat, responden telah dipilih berdasarkan persampelan rawak merujuk kepada jenis etnik, jantina dan negeri tempat tinggal mereka.

"Persepsi bahawa hubungan etnik telah menjadi bertambah buruk, bilangan warga Malaysia yang ditinjau merasakan bahawa rakyat di negara ini semakin hampir sama-sama menurun dari 64 peratus pada tahun 2006 kepada 36 peratus pada tahun 2011.

"Sementara itu hanya 37 peratus daripada mereka yang ditinjau merasakan bahawa hubungan etnik ini akan bertambah baik pada sepuluh tahun akan datang berbanding dengan 43 peratus pada tahun 2006,"
jelasnya.

Menurut beliau lagi, daripada kaji selidik penurunan kepercayaan terhadap hubungan etnik yang baik ini adalah berkemungkinan disebabkan oleh isu yang dimainkan media termasuk perkara-perkara berkaitan politik bangsa, agama dan kesan insiden yang telah berlaku sejak tahun 2008.

Untuk rekod katanya, pelbagai bentuk isu yang berkait rapat dengan agama antaranya termasuk serangan membakar rumah-rumah ibadat, perdebatan umum mengenai isu buku teks sekolah Interlok misalnya dan kenyataan kontroversi oleh tokoh-tokoh awam yang turut dimainkan oleh media.

Malah dalam perkembangan yang sama, kaji selidik itu juga mendapati bahawa tahap kepercayaan yang diletakkan pada ketiga-tiga komuniti utama juga telah menurun.

"Amanah keseluruhan di kalangan responden terhadap ahli-ahli masyarakat India merosot daripada 37 peratus hingga 31 peratus manakala amanah terhadap masyarakat Cina menurun daripada 47 peratus kepada 42 peratus.

"Selain itu juga, amanah terhadap masyarakat Melayu juga menurun sedikit daripada 66 peratus kepada 65 peratus. Satu faktor penting yang dinyatakan dalam pertanyaan ini adalah tahap tinggi kesangsian yang dilaporkan oleh responden ke atas rakyat Malaysia lain daripada latar belakang etnik yang berbeza,"ujar beliau.

Beliau juga memberikan beberapa contoh berkaitan antaranya ialah 60 peratus daripada responden Melayu melaporkan bahawa mereka 'agak tidak dipercayai' atau 'sangat tidak dipercayai' masyarakat Cina.

Sehubungan dengan itu katanya, 42 peratus responden Cina bersama-sama dengan 16 peratus daripada responden Melayu dilaporkan tidak meyakini atau syakwasangka kepada masyarakat Melayu.

Malah tidak mengejutkan, kajian itu juga mendapati bahawa pematuhan kepada 'stereotaip' menghina kaum terus kekal berterusan.

"Kepercayaan dalam stereotaip kaum merosot hanya sedikit sejak kaji selidik yang terakhir pada tahun 2006. Sebagai contoh, kepercayaan dalam stereotaip perkauman seperti 'orang Melayu malas', 'orang Cina tamak' dan 'orang India tidak boleh dipercayai' merosot hanya sebanyak dua , tiga dan dua peratus masing-masing,"jelasnya lagi.

Kata beliau lagi, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa setiap stereotaip ini dipercayai oleh majoriti responden.

Secara keseluruhannya kata Tan, 82 peratus daripada warga Malaysia yang ditinjau dalam kajian ini berkata mereka 'gembira hidup dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia'.

Walau bagaimanapun, berlaku satu penurunan sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2006.

Kaji selidik itu juga mendapati bahawa pandangan awam mengenai kematangan masyarakat Malaysia dalam menangani isu-isu perkauman dan agama juga menurun.

Hanya 38 peratus daripada responden bersetuju bahawa 'masyarakat kita matang untuk membincangkan perkara-perkara kaum dan agama secara terbuka' berbanding dengan 46 peratus pada tahun 2006.

Sementara itu, 55 peratus daripada responden yang ditinjau bersetuju bahawa isu-isu perkauman dan agama adalah terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.





Popout


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular