Friday, August 19, 2011

Isu Murtad : Mashitah lupa sejarah atau buta fakta

Mashitah Ibrahim cuba tegak benang basah
Oleh Pembaca anti murtad
Saya berhajat untuk membalas tulisan Dr Mashitah Ibrahim bertajuk “Isu Murtad: PAS Pilih JAIS atau DAP?” Artikel beliau disiarkan di dalam Sinar Harian pada 12 Ogos 2011.


Secara mudahnya, Mashitah cuba memberi gambaran bahawa PAS telah membuang perjuangan Islam kerana tidak menyebelahi JAIS. Mashitah juga cuba menyebar fitnah kononnya sikap dingin PAS terhadap murtad adalah kerana hubungan PAS dengan DAP.


Lupakah Mashitah parti yang beliau wakili telah meluluskan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Pesekutuan) 1997 (Akta 559). Sesiapa yang merujuk kepada Akta tersebut akan melihat bahawa “Murtad” tidak menjadi salah satu dari kesalahan jenayah Syariah di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan.


Siapakah yang telah meluluskan Akta Jenayah Syariah ini? Adakah DAP? Adakah Ambiga? Adakah Gereja Methodist Damansara Utama?
Atau, bukankah yang meluluskannya adalah Umno?


Maka, bolehkah kita katakan Umno sendiri penyokong kepada murtad secara sukarela memandangkan murtad dihalalkan di Wilayah2 Persekutuan.


Tidak hairanlah Lina Joy tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah atas jenayah murtad memandangkan Lina Joy dibaptiskan di sebuah gereja di Brickfield (yang berada di dalam Wilayah Persekutuan).


Malahan, kalau saya mahu pergi jauh ke lubuk sejarah, Umno telah bersikap dingin terhadap murtadnya Natrah.


Allahyarham Haji Ahmad Fuad menulis dalam bukunya yang bertajuk “Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan” di mana beliau menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan.


Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu permurtadan Natrah, penganjuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain.


Dan menjadi maklumat umum, usaha Allahyarham Tuan Haji Ahmad Fuad menubuhkan Persatuan Ulama Malaya telah membawa kepada tertubuhnya Partai Islam Setanah Melayu, ringkasnya PAS.


Dengan kata lain, PERMURTADAN NATRAH adalah salah satu faktor yang membawa kepada perpecahan dalam Umno yang telah membuahkan PAS. PAS ditubuhkan atas sikap Umno yang dingin dan senyap dalam isu murtadnya Natrah.


Peristiwa Natrah mengajar kita betapa tingginya toleransi Umno terhadap jenayah murtad. Sehingga sejarah mengajar kita kebangkitan orang Islam di Singapura dalam peristiwa Natrah dipimpin oleh bekas Presiden PAS (Allahyarham Burhanuddin Helmi) serta Allahyarham Karim Ghani. Umno pada masa itu bersikap senyap sunyi dan dingin.


Jangan juga kita lupa betapa Umno beberapa kali menghalang usaha PAS untuk membentangkan rang undang-undang pribadi yang bakal mengharamkan murtad. Kalau Umno ikhlas menangani murtad sudah tentu Umno yang akan membentang rang undang-undang murtad di Parlimen sekaligus mengharamkan murtad sama sekali.


Namun, Akta Jenayah Shariah yang diluluskan oleh Umno untuk Wilayah Persekutuan sendiri tidak mengharamkan murtad.


Jelaslah Umno selama ini bertoleransi dengan murtad. Rekod Umno di dalam memerangi murtad adalah amat buruk dan sangat-sangat dikesali.


Maka, apakah hak Mashitah untuk mengkritik PAS hanya kerana PAS bersikap hati-hati dengan JAIS? Bukankah JAIS sendiri tidak konsisten di dalam menangani gejala murtad?


Mengapa gereja DUMC yang kesnya tidak jelas boleh diserbu sebegitu namun Masjid Qadyani di Kampung Nakhoda terus dibiarkan beroperasi sehingga sekarang?


Amat tidak wajar bagi Mashitah memburuk-burukan PAS sebegini.
Lebih-lebih lagi UMNO sendiri mempunyai rekod yang tersangat buruk dari segi murtad.

Isu murtad PAS pilih Jais atau DAP
oleh MASHITAH IBRAHIM
Sekali lagi Pas berada di persimpangan, sama ada berpaksi kepada perjuangan ‘amal makruf nahi mungkar’ atau tunduk saja kepada DAP atas dasar setia kawan dalam pakatan politik untuk memenangi pilihan raya.

Kemelut Pas berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan pemeriksaan di gereja, dipercayai cuba memurtadkan orang Islam minggu lalu, membuka pekung di dada. Rakyat, termasuk penyokong Pas sendiri mahu melihat yang mana menjadi pilihan parti bernama Islam ini.


Andainya Pas memilih dasar perjuangannya mendaulatkan Islam, mereka mesti menyokong tindakan Jais, yang bertindak atas laporan awam dan bahan bukti. Mesti berdiri tegak di belakang Datuk Dr Hasan Ali, Exco Hal Ehwal Agama Islam di Selangor, yang mempertahankan tindakan Jais mahu menyelamatkan akidah 12 Muslimin.

Setakat ini, ramai penyokong Pas, NGO dan pertubuhan Islam, menzahirkan sokongan terhadap tindakan Jais. Namun, Pas bersikap dingin dan melahirkan hasrat untuk mendapat maklumat lanjut daripada pihak gereja dan Jais sendiri. Ini sangat bertentangan dengan tarbiah Pas kepada penyokongnya untuk tidak berkompromi dalam soal perjuangan hak Islam.

Kenapa kepimpinan Pas bagaikan burung kasawari membenam kepala di dalam lubang tanah dalam soal ini? Takut menyinggung perasaan penganut Kristian dan DAP? Apakah Pas tidak percaya dengan Hasan atau meragui kesahihan maklumat diperoleh Jais? Apa pula kuasa Pas untuk mengarah sebuah agensi kerajaan negeri untuk beri maklumat kepadanya? Mahukah sebuah gereja Kristian disoal selidik oleh parti Pas?

Lebih teruk, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sudah pun memohon maaf kepada pihak gereja atas tindakan Jais, walaupun belum dapat laporan lengkap kedudukan sebenar. Ini seolah-olah Jais sudah bersalah. Nampaknya Menteri Besar sudah hilang kepercayaan kepada Exco dan jabatan agamanya sendiri. Kini, beliau dilaporkan mahu mendapat nasihat Sultan Selangor pula. Nasihat terbaik untuk Khalid ialah siapa korek lubang, dialah yang timbus.
Ramai ketahui Exco paling berpengaruh di Selangor ialah yang dipegang pemimpin DAP. Selain Hasan, Pas hanya ada dua wakil dalam kerajaan negeri, dianggap lemah dan junior. Sejak 2008, banyak isu berkaitan Islam dan Muslimin yang diperjuangkan Pas ditentukan oleh DAP. Ini termasuk konsert rock terbesar di Shah Alam, penjualan arak dan premis rumah urut, penggajian orang Islam di premis jual arak, serta pembukaan ladang babi terbesar di Malaysia. Exco-Exco DAP bukan Islam ada pengaruh besar ke atas Menteri Besar, melebihi Exco-Exco Pas Islam.

Pas sudah tersepit dengan konsep tahaluf siyasinya kerana mahu terus berdamping dengan DAP bagi memperoleh kuasa, ia menjadi pengecut dan tidak berani lagi mempertahankan prinsip Islam. Sudahlah dasar perjuangannya selama ini – negara Islam, hudud – sudah dibuang, pemimpinnya sendiri dikritik hebat kerana melaksanakan tanggungjawab. Semuanya gara-gara takut kepada DAP.

Saya cuma terbayang, andai Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) juga mendapat laporan sahih berlaku usaha memurtadkan orang Islam di sebuah gereja di Alor Setar, tidakkah Jaik pergi menyiasat? Atau kena tunggu arahan DAP dulu? Jika pemeriksaan dibuat, adakah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak kena mohon maaf juga?

Hasan kini diarah tutup mulut oleh Menteri Besar. Karpal Singh kata Hasan sudah ‘melampaui batas’. Lim Kit Siang tegur Hasan supaya ‘ikut garisan’ dan jadi ‘pemain pasukan’. Pemimpin Pas Selangor juga kritik Hasan. Ada yang tuduh beliau ejen UMNO, cuba sabotaj hubungan Pas-DAP. Hasan kata dia sedia dipecat kesemua jawatan dalam kerajaan mahupun parti. Sebelum ini, beliau sudah dipecat sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor selepas gagal pertahan Naib Presiden dalam muktamar ke-57.

Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang berkata, keputusan selepas Raya Puasa. Andai Hasan dipecat sebagai Exco menjelang Aidiladha nanti, bermakna ada pemimpin Pas Selangor dan DAP yang akan berhari raya awal – dengan Hasan sebagai korban kambing hitamnya.S/Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular