Sunday, July 24, 2011

"Wang Berbillion Itu Hak Rakyat"


MB Selangor Tempelak Kenyataan Najib


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merendah-rendahkan usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat berjimat cermat demi memastikan hasil mahsul negeri dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Selangor. 

Sebaliknya, Khalid berkata Najib harus sedar betapa duit berbilion ringgit yang kononnya disumbangkan kerajaan persekutuan kepada rakyat selama ini sememangnya hak mereka hasil daripada cukai yang dipungut kerajaan pusat

“Semua yang diberikan oleh kerajaan persekutuan (adalah) dari cukai rakyat. (Tetapi) yang kita berikan adalah daripada hasil pasir yang kita lakukan daripada perlombongan pasir dan untungnya kita kembalikan kepada rakyat.

“Kalau kerajaan persekutuan nak bagi kepada rakyat, berilah kepada rakyat. Buat apa saya nak halang, berikan sahajalah. Itu memang hak rakyat," katanya selepas menghadiri Majlis Konvensyen Pengurusan Masjid dan Penyerahan Sumbangan Moreh Bulan Ramadhan, di sini, hari ini. 

Najib semalam berkata, kerajaan Pakatan Rakyat di negeri tertentu heboh dengan pemberian RM100 kepada rakyat. 

Katanya, kerajaan pimpinannya telah memperuntukkan berbilion ringgit kepada rakyat namun tidak menguar-uarkannya seperti kerajaan Pakatan Rakyat. 

"Mereka sebelah sana, itulah sikapnya. Beri RM100 sudah riuh sekampung. Kerajaan Barisan Nasional sudah beri berbilion ringgit kepada rakyat tapi pihak sana pukul gendang lebih kuat," Najib dipetik sebagai berkata. 

Namun menurut Khalid, kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai cara dan strategi tersendiri untuk bersama-sama membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat mutakhir ini.

“Cara yang kita lakukan adalah terus kepada rakyat. Kita ada senarai nama mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan layak,”
 katanya.

Sejak Mac 2008, kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat memperkenalkan program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor ‘(MES).

Terbaru, program ‘Jom Shopping’ yang dilancarkan kerajaan negeri menyaksikan baucer bernilai RM100 diberikan kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas untuk membeli belah.

Sebanyak RM5 juta hingga RM10 juta diperuntukkan untuk program ini yang diperolehi daripada keuntungan perlombongan pasir yang dilakukan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd, KSSB.

Khalid menjelaskan, berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan beberapa institusi sebelum ini mendapati penggunaan orang tengah merupakan antara punca berlakunya ketirisan dalam menyalurkan sumbangan yang diberikan. 

“Tetapi cara yang dibuat dalam pengurusan yang lepas dan sebagai orang yang mempunyai pengalaman dalam menguruskan banyak institusi, saya dapati ialah apa yang disumbangkan mesti melalui orang tengah.

“Maknanya kalau ingin beri, berikan kepada cawangan atau bahagian Umno, selepas itu baru turun kepada peringkat bawah. Itu adalah cara berlakunya ketirisan. Ada pula tauke yang ambil sedikit dan tidak sampai terus kepada rakyat.

“Jadi kalau betul-betul Perdana Menteri hendak buat, buat macam apa yang kerajaan negeri Selangor buat, terus kepada rakyat. Jangan ada ketirisan,” katanya.

Antara Program MES lain adalah Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Skim Pinjaman Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR). -tvsnews


Popout


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular