Monday, July 25, 2011

Dr Asri Wahabi dan Pengganas???

Tohmahan Wahabi dan Pengganas
Saya berasa sungguh terkejut dengan laporan media bahawa kononnya Majlis Keselamatan Negara, semasa mesyuaratnya yang telah diadakan hari ini, telah mengenalpasti bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Asri Zainul Abidin, serta beberapa pemimpin agama Islam yang lain sebagai pendokong gerakan Wahabi serta pengganas dan merasakan ia sebagai suatu yang sangat keterlaluan sekiranya laporan ini betul.

Sebarang maklumat yang telah dibentangkan itu hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang kepada Dr Asri serta mereka yang telah disenaraikan sebagai pendokong gerakan Wahabi atau pengganas itu membela diri dan memberikan hujah bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah. Saya tidak nampak langsung sebarang tindakan atau usaha subversif daripada Dr Asri yang melayakkan beliau untuk dilabel sebagai pengganas.

Pada pendapat saya, sebarang langkah melulu terutama di dalam melabel serta menjatuhkan hukum kepada pihak-pihak tertentu tanpa penelitian yang mendalam serta memberikan mereka peluang untuk memberi penjelasan adalah suatu yang tidak boleh diterima apatah lagi apabila tuduhan atau label tersebut menyabitkan seseorang atau kelompok tertentu sebagai pengganas.

Oleh yang demikian, saya mendesak agar Majlis Keselamatan Negara memberi penjelasan berhubung laporan media yang berkenaan dan sekiranya benar memberi Dr Asri dan mana-mana tokoh agama Islam yang telah disenaraikan sebagai pendokong gerakan Wahabi atau pengganas peluang untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan. - KJ


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular