Wednesday, July 13, 2011

NAJIB LUPA JASA PAHLAWAN ?

PEJAM….Justin Sedomon memejam mata sebagai isyarat menunjukkan kerajaan BN seolah-olah tidak mengenanang jasa Datuk OKK Sedomon dan Datuk G. S Sundang.
Oleh : PENULIS KHAS

MANTAN Penolong Pegawai Daerah Keningau, Justin Sedomon merayu jasa baik Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia agar menyambut Hari Kemerdekaan pada tahun ini di Sabah, khususnya di Daerah Keningau sempena 48 tahun Sabah Merdeka melalui pembentukan Malaysia.

Beliau juga berharap agar pihak kerajaan BN khususnya parti PBS menyokong penuh kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang juga Ahli Parlimen P.180 Keningau, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Ini kerana Joseph Pairin masih mempunyai banyak urusan yang belum diselesaikan kepada rakyat.

Mendiang O.K.K Sedomon merupakan bapa kepada Justin Sedomon. Pada tahun 1960-an, O.K.K Sedomon telah menubuhkan parti Pasok Momogun yang mana parti ini mewakili rakyat tempatan Sabah khasnya rakyat daripada Pedalaman.

Selepas itu Datuk G.S Sundang menubuhkan Action Parti Pasok Momogun. Kedua-dua mereka menyokong penuh pembentukan negara Malaysia termasuklah 11 negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Datuk G.S Sundang mewakili rakyat dari Pedalaman sama-sama menandatangani perjanjian menubuhkan negara Malaysia. Selepas itu, Datuk G.S Sundang telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan pada tahun 1960-an.

O.K.K Sedomon pada waktu itu mewakili Ketua Anak Negeri daripada Pedalaman termasuklah Labuan, Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Tenom, Pensiangan (Nabawan), Keningau (termasuk Daerah Kecil Kemabong dan Daerah Kecil Sook), Tambunan dan Ranau.

Pada tahun 1962, semasa kempen membantu rakyat Pedalaman memahami konsep Kerajaan Malaysia. Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri pernah datang ke Rumah Besar di Bingkor Daerah Keningau bersama-sama dengan O.K.K Sedomon.

Mereka menggunakan Rumah Besar Bingkor (kediaman O.K.K Sedomon) di tingkat satu memberikan keterangan kepada rakyat di Pedalaman untuk bersama-sama berjuang membina gabungan Kerajaan Malaysia. Rumah Besar Bingkor juga pernah dijadikan pejabat semasa pemerintahan kerajaan Koloni Kompeni Hindia Timur dan juga kerajaan British Chartered Company. Beliau meninggal pada tahun 1930-an.

Tun Razak pada waktu itu mewakili kerajaan Malaysia berjanji bahawa Sabah akan merdeka melalui Malaysia. Selain daripada itu, memorandum perkara 20 juga antara kerajaan dengan kerajaan persekutuan telah dimeterai untuk kebaikan kepada rakyat Pedalaman (Murut, dusun dan Kadazan).

Kerajaan juga telah membina satu Batu Sumpah mengikut peraturan-peraturan tradisional dan menjemput Yang Di-Pertuan Agong ke-2 untuk merasmikan Batu Sumpah tersebut.

Pada waktu itu, kerajaan Malaysia diwakili oleh Menteri Buruh Malaysia ketika itu dan Negeri Sabah diwakili oleh Tun Fuad dan Datuki G.S Sundang, Datuk OKK Sodomon dan semua Ketua Anak Negeri di Pedalaman.

Orang ramai juga dijemput untuk mendengar ucapan Tun Razak ketika itu di Rumah Besar Bingkor dan menyaksikan Batu Sumpah di hadapan Bangunan Majlis Daerah Keningau (yang sekarang tapaknya berdekatan bangunan Pejabat Tanah dan Ukur).

Tun Razak pada waktu itu juga berjanji akan memberikan peluang anak lelaki O.K.K Sedomon iaitu Justin, belajar di Kolej Tun Razak Kuala Lumpur. Beliau juga berjanji akan memberikan peruntukan untuk mencantikkan Rumah Besar Bingkor sebagai saguhati kerana dapat memupuk rakyat di Pedalaman.

Namun hanya Justin Sedomon sahaja yang dihantar untuk belajar sehingga tingkatan 5 dan apabila beliau kembali pada tahun 1965, beliau seterusnya dilantik sebagai ADO Keningau.

Tetapi peruntukan untuk mencantikkan Rumah Besar Bingkor sehingga kini tidak ditunaikan. Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan) pada bulan April tahun 1998 telah melawat ke Keningau dan mengatakan perkara ini adalah tidak berkaitan dengan beliau kerana telah lama berlalu dan jangan lagi dibangkitkan.

Justin berharap kerajaan tidak lupa jasa baik mendiang bapanya, OKK Sedomon dan mendiang pak ciknya, Datuk G.S Sundang (mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah). Tanpa sokongan mereka pada waktu itu, kerajaan Malaysia tidak akan wujud.

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan perayaan kemerdekaan Malaysia antara 31/08/2011 hingga 16/09/2011 harus diadakan di Keningau untuk memberi penghormatan kepada mendiang bapa dan pak cik Justin; serta tokoh-tokoh masyarakat yang menyokong penubuhan kerajaan Malaysia pada waktu itu.

Selepas jawatan ADO, sehingga kini tiada jawatan lain yang diberi kepada Justin oleh kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

Justin Sedomon juga memberi nasihat kepada Pemimpin kerajaan komponen BN khususnya parti PBS, yang mana baru-baru ini tersebar khabar angin yang mengatakan ada beberapa pemimpin mahu Joseph Pairin meletak jawatan dalam politik dan jawatannya (ADUN N.32 Tambunan dan Ahli Parlimen P.180 Keningau) diberi kepada pemimpin-pemimpin generasi muda.

Justin berharap agar pemimpin-pemimpin yang terlibat memberi peluang kepada Joseph Pairin untuk meneruskan memberi khidmat kepada rakyat khususnya di Tambunan dan Keningau kerana belum nampak pembangunan yang pesat di kedua-dua daerah ini, agar rakyat akan mengenang jasa-jasa Pairin apabila telah bersara dari politik kelak.

Sebagai contoh, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Musa Hj Aman yang mana beliau telah bersungguh-sungguh untuk membina satu bangunan kraftangan di Keningau dan memberi peluang kepada Daerah Keningau (termasuk Tambunan dan Tenom) untuk menganjurkan Sukan SAGA ke-5 tahun 2011 baru-baru ini (06 hingga 11/06/2011) walaupun beliau bukan wakil rakyat di Keningau.
KENANGAN…..Justin Sedomon dan keluarganya bergambar di hadapan Rumah Besar Bingkor, Keningau.

Justin Sedomon juga masih ingat kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Suffian Koroh yang mana pada waktu beliau menjadi wakil rakyat pada tahun 70an hingga 80an telah berjaya membina bangunan besar di Pedalaman termasuk Institut Perguruan Keningau (1983), membina satu Pusat latihan Dakwah Keningau yang terbesar di Sabah dan Masjid Besar Keningau untuk kebaikan kepada kaum muslim di Daerah Keningau.

Pada waktu itu juga, Padang Golf seluas 80 ekar juga telah dibina pada tahun 1982 di bawah pimpinan Datuk Harris Salleh (Mantan Ketua Menteri Sabah). Pada tahun 1982 juga, Tan Sri Suffian Koroh telah mencadangkan sebuah Hospital Baru Keningau yang berharga RM 120 juta dan bangunan Perpustakaan Keningau dibina, namun hanya pada tahun 1999-2003 kedua-dua bangunan ini siap dibina.

Pada tahun 2010, Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar Dewan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau dinamakan sempena nama Tan Sri Suffian Koroh.

Baru-baru ini juga, ketika perasmian Sukan SAGA ke-5, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Musa Hj Aman memberi penghormatan kepada Tan Sri Suffian Koroh kerana pada tahun 1980-an, Tan Sri Suffian Koroh telah berjaya membina satu Padang Sukan yang cantik di Pedalaman.

Sehubungan itu Justin berharap Joseph Pairin diberi peluang supaya beliau dapat meneruskan perjuangan beliau demi kebaikan kepada rakyat dan negara.

PS : Kerana "JANJI MANIS" dan "JAWATAN" negeri tergadai...  Apakah ini unt kepentingan "PERIBADI" atau kepentingan RAKYAT, saya tidak menafikan "JASA"  Datuk OKK Sedomon tetapi APA yg rakyat perolehi hasil dari JANJI MANIS  itu.dan pencapaian JANJI dalan "PERJANJIAN 20 Perkara".

Tun Razak pada waktu itu juga berjanji akan memberikan peluang anak lelaki O.K.K Sedomon iaitu Justin, belajar di Kolej Tun Razak Kuala Lumpur. Beliau juga berjanji akan memberikan peruntukan untuk mencantikkan Rumah Besar Bingkor sebagai saguhati kerana dapat memupuk rakyat di Pedalaman.... Selepas jawatan ADO, sehingga kini tiada jawatan lain yang diberi kepada Justin oleh kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular