Wednesday, July 20, 2011

Jangan TEMBERANG "NKRA", Bayar dulu Hutang!!!

HUTANG.... Kunsul menunjukkan jalan yang telah disiapkan dan papan tanda kewujudan projek berkenaan untuk membuktikan KKLW masih berhutang dengan kontraktor bumiputera.

20 KONTRAKTOR Kelas F mencela sikap buruk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang gagal menyelesaikan isu tuntutan kontrak kerja mereka yang belum dibayar; walaupun kerja telah disiapkan sejak lebih setahun lalu.

Jurucakap kontraktor berkenaan, Kunsul Nahul ketika menghubungi Sabahkini.net mengesahkan pihaknya sudah terlalu lama menunggu janji Shafie untuk menyelesaikan isu tuntutan 20 kontraktor bumiputera yang teraniaya oleh KKLW apabila Pejabat Daerah Lahad Datu tidak mempunyai cukup wang untuk membayar GWO (Pesanan Kerja Am) yang telah dikeluarkan kepada mereka.

“Kerja kita telah buat dan telah disahkan siap, tetapi sampai hari ini janji Shafie untuk selesaikan isu ini belum tertunai. Bukan salah kami. Kami terima GWO dan buat kerja ikut spesifikasi. Bila mahu tuntut, Pejabat Daerah kata duit habis,” ujar Kunsul yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana peruntukan khas RM1.5 juta yang dikeluarkan oleh KKLW kepada Pejabat Daerah Lahad Datu telah disalahgunakan untuk tujuan lain sehingga mereka gagal membayar kontrak kerja yang telah kami siapkan.

Tegas Kunsul, walaupun tuntutan projek kecil beliau tidak banyak, antara RM20,000 sehingga RM50,000, tetapi adalah jumlah yang cukup besar bagi kontraktor Kelas F seperti beliau dan rakannya yang bukan sahaja terpaksa membeli batu kelikir, membayar pekerja dan sewa jentera.

Projek Selenggara Jalan Kampung Kg Sapagaya Lahad Datu yang diperolehinya melalui KKLW/PD/PJK/S/LDU/SIM/358P/03-09 dan dikeluarkan GWO bernombor A 172499 pada 19 Mac 2009, kata Kunsul telah disiapkan dua minggu kemudian.
Kunsul bagaimanapun tidak ingin menyentuh GWO 19 rakannya yang teraniaya KKLW melainkan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berminat untuk menyiasat kes berkenaan.

“Jadi, saya minta jasa baik Shafie, janganlah terlalu temberang dengan janji NKRA. Selesaikan dahulu isu hutang kerajaan kepada kontraktor Kelas F, lebih kurang RM750,000 yang belum dibayar,” kata Kunsul yang agak kesal kerana sebagai Menteri dan juga Naib Presiden UMNO, Shafie sewajarnya menjaga kebajikan Kontraktor Bumiputera Kelas F yang menjadi mangsa birokrasi; termasuk perebutan peruntukan antara Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Silam.

Kunsul turut menggesa SPRM agar menyiasat kes berkenaan sehingga ke akar umbi kerana beliau percaya banyak peruntukan projek KKLW dipesongkan untuk melaksanakan kerja yang tidak disenaraikan atau melakukan ‘Top-Up’ terhadap kerja yang dilaksanakan sambil lewa atau tidak siap.

“Jika SPRM berminat mahu siasat, boleh cari saya kerana saya juga mahu tahu apa kuasa Pejabat Daerah Lahad Datu mahu menahan bayaran yang sepatutnya dibayar kepada saya dan rakan lain sejak setahun lalu?” tanya Kunsul.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular