Thursday, June 30, 2011

Putrajaya arah stesen swasta ‘kubur’ berita Bersih, mahu publik diberi amaran



Para penyerta melaungkan slogan ketika perhimpunan Bersih pada 10 November 2007. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 30 Jun — Pentadbiran Najib memberi amaran kepada stesen-stesen siaran swasta daripada menyebut apa-apa tentang Himpunan Bersih 2.0 atau tarikh ia akan diadakan, sebaliknya mahu mereka memberi amaran kepada orang ramai daripada menyertai tuntutan jalanan meminta pilihan raya adil dan bebas.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa sejak minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta eksekutif media stesen-stesen swasta untuk memaklumkan mereka mengenai garis panduan baru itu selain Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan kemeja-T Bersih sebagai haram.

“Kami tidak boleh menyebut Bersih, tarikh 9 Julai perhimpunan diadakan dalam siaran kami tetapi kami mesti memberi amaran mengenai demonstrasi ini. Bagaimana kita boleh melakukannya?” kata seorang eksekutif media kepada  The Malaysian Insider.

Putrajaya memiliki Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mengadakan siaran radio dan televisyen, malah menyediakan lesen kepada stesen swasta seperti Astro,  The StarPublications yang turut mempunyai stesen radio, Media Prima Berhad yang mengendalikan stesen radio dan televisyen serta stesen radio BFM.

“Kami kena menghantar skrip radio kami untuk diteliti (pihak berkuasa). Ia sesuatu yang mengarut,” kata seorang lagi eksekutif kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan arahan itu datang daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di sebalik tindakan polis menghalang perhimpunan anjuran Bersih, yang dijadual untuk diadakan 9 Julai ini menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

Perkasa dan Pemuda Umno juga mahu mengadakan perhimpunan balas menentang Himpunan Bersih 2.0.

Semalam, Hishammuddin mengisytiharkan kemeja-T sebagai haram manakala pihak polis menyerbu sekretariat Bersih di Petaling Jaya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya bukan sahaja menahan sesiapa yang menggunakan kemeja-T Bersih 2.0 tetapi kemungkinan akan mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja menggunakan apa juga cara untuk mempromosikan perarakan haram. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular