Thursday, June 30, 2011

Pejabat Umno disimbah cat kuning, dilempar bangkai ayam


PETALING JAYA: Pejabat Umno bahagian Cheras dan Bandar Razak di Kuala Lumpur disimbah cat kuning dan dilempar bangkai ayam  awal pagi tadi.


Pejabat Umno Bandar Tun Razak, dilempar enam ekor  bangkai ayam- dua semalam dan empat awal pagi tadi.

Pejabat Umno Cheras dilempar empat ekor bangkai ayam selain disimbah cat kuning.


Ketua Umno bahagian, Datuk Syed Ali Alhabshee  berkata, kejadian itu disedari pekerjanya awal pagi tadi.


“Bila mereka datang pejabat mereka ternampak simbahan cat kuning di dinding dan terdapat empat  ekor bangkai ayam.


“Pekerja saya telah membuat laporan polis di balai polis Pudu,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Syed Ali mendakwa, pihak yang tidak bertanggungjawab itu cuba mencetuskan provokasi supaya ahli Umno bertindak balas terhadap perhimpunan Bersih yang dirancang 9 Julai depan.

Perhimpunan Bersih

Menurutnya, ia juga mungkin kerana beliau terlalu banyak mengeluarkan kenyataan menghentam perhimpunan Bersih.


Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Bandar Tun Razak Shaharuddin Zainal Abidin pula berkata, pintu pagar pejabat dan cermin bilik komputer disimbah cat kuning.


Manakala, tambahnya bangkai ayam itu pula dilemparkan ke kawasan pejabat Umno bahagian.


“Saya mengesyaki ia dilakukan oleh mereka yang mengetahui  lokasi pejabat Umno ini. Ia mungkin dilakukan orang sekitar kawasan ini,” katanya.


“Tetapi laporan polis telah dibuat di ibu pejabat polis (IPD) Cheras,” tambahnya.


Sharuddin berkata, perbuatan menyimbah cat kuning dan melemparkan bangkai ayam bertujuan melakukan provokasi untuk memburukkan lagi keadaan.


Seorang pekerja pejabat Umno Bandar Tun Razak sedang membersihkan cat yang melekat di pntu pagar dan cermin bilik kelas komputer.


“Banyak cat kuning yang melekat, kena banyak bersih baru tanggal” katanya yang dihubungi sebentar tadi.


Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah datang memeriksa keadaan pagi tadi. - FMT

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular