Wednesday, May 11, 2011

Pas, UMNO boleh bersatu: Daeng Sanusi


SHAH ALAM - Seorang veteran Pas menyatakan harapan parti itu boleh bersatu dengan UMNO asal sahaja kedua-dua pihak ikhlas mahu berbuat demikian. 

Dr Daeng Sanusi Mariok yang pernah memegang jawatan Naib Presiden Pas, Pesuruhjaya Pas Johor dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan berkata, penyatuan tidak mustahil berlaku jika ada keikhlasan terutama di pihak UMNO.


“Dalam perkara ini, kedua-dua pihak perlu ikhlas untuk menyatukan umat Islam. Perpaduan tidak akan jadi kenyataan jika berlatar belakangkan politik dan bukan berlatarbelakangkan politik juga, perpaduan boleh terjadi,” katanya. 

Bagaimanapun kata Daeng Sanusi, beliau melihat ajakan UMNO untuk berbincang dengan Pas mengenai perpaduan, apa yang disebut sebagai ‘Kerajaan Perpaduan’ sebelum ini lebih bersifat politik. 

“Mereka (UMNO) sengaja memainkan soal bangsa, menggunakan sentimen untuk menarik perhatian orang ramai,”katanya. 

Daeng Sanusi berkata, sejarah lampau Pas dibuang daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977 menyebabkan parti itu serik untuk bekerjasama dengan UMNO. 

“Hanya apabila tersepit, baru timbul isu perpaduan Melayu, maka Pas pun diajak bersatu. Ini apa yang Pas curigai. Jika masing-masing ikhlas, tidak mustahil, UMNO dan Pas boleh bersatu lagi,” katanya. 

Sebagai ‘orang lama’, Daeng Sanusi mengingatkan pemimpin Pas supaya berhati-hati dan bijak menyusun strategi agar tidak kecundang dengan isu yang dimainkan UMNO. 

Sementara itu, seorang lagi veteran Pas, Yahya Osman berkata, yakin usaha untuk menyatukan Pas dengan UMNO tidak akan berlaku dan jika dilakukan pun, tidak akan berjaya. 

“Penyatuan pernah berlaku dahulu tetapi peluang yang ada telah disalahgunakan oleh UMNO dan UMNO hanya mempergunakan Pas untuk menguatkan kedudukan mereka. 

“Setelah mendapat kekuatan, Pas dibuang UMNO. Atas sebab itu, tidak akan terjadi lagi kerjasama Pas dan UMNO,” katanya. - SH


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular