Thursday, April 21, 2011

Pesara skim KWSP dapat kemudahan perubatan percuma

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
PUTRAJAYA - Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Selain itu, kerajaan juga memutuskan bahawa ganjaran akan dibayar seratus peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah Skim Pencen, sekaligus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.

Ganjaran itu diberikan, berkat usaha kerajaan menguruskan kewangan dengan bijak sehingga negara mulai pulih daripada masalah ekonomi.

Keputusan kerajaan itu, yang berkuatkuasa mulai tarikh semasa, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di sini, hari ini.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa," kata Perdana Menteri.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

Ia, bagaimanapun tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri, kata Perdana Menteri.

Najib berkata, kajian semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) juga sedang dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

Perdana Menteri berkata, kajian komprehensif itu bukan sahaja meneliti aspek saraan semata-mata tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamis bagi menterjemahkan agenda transformasi kerajaan serta ekonomi.

"Pokoknya perkhidmatan awam negara ini mestilah mencapai tanda aras global," katanya. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular