Tuesday, April 19, 2011

warga asing guna taktik kemalangan untuk samun

KUALA LUMPUR - Taktik sekumpulan warga asing yang melakukan samun dengan berlakon "dilanggar" kenderaan terbongkar dengan penangkapan empat lelaki di sebuah rumah di Kampung Pandan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, mereka yang dipercayai warga India berumur antara 23 dan 27 tahun ditahan selepas 'mementaskan lakonan' di Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) kira-kira pukul 11 malam Sabtu lalu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohan Singh berkata, mangsa mereka ialah seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai chef di sebuah hotel yang dalam perjalanan ke rumah abangnya di Wangsa Melawati.

Ketika sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapan kereta mangsa dan terjatuh seolah-olah dilanggar keretanya, menyebabkan beliau berhenti dan keluar dari kereta untuk membawa lelaki itu ke hospital.

Bagaimanapun, rakan 'mangsa kemalangan' yang berada di situ meminta mangsa menghantar mereka ke rumahnya di Kampung Pandan, dan apabila tiba di rumah tersebut mangsa telah diikat tangannya dan mulut dilekat dengan pita oleh empat lagi rakan mereka yang ada di rumah terbabit.


"Suspek merampas wang tunai RM40 milik mangsa di dalam dompetnya dan memaksa mangsa memberitahu nombor pin kad ATM miliknya.

"Suspek mengeluarkan wang tunai RM1,240 dalam simpanannya dan mengugut mangsa supaya memberi mereka wang tunai RM10,000. Namun, menyedari perbuatan mereka sia-sia, mangsa kemudiannya dilepaskan kira-kira pukul 2 pagi, sebelum mangsa membuat laporan polis setengah jam kemudian di IPD Cheras," katanya.

Bertindak daripada laporan itu, polis menyerbu rumah berkenaan kira-kira pukul 4 petang pada Ahad dan menahan empat suspek manakala dua lagi berjaya melarikan diri.

"Kesemua mereka yang tidak bekerja memiliki dokumen, namun kami masih menyiasat sama ada ia sah atau tidak," katanya.

Empat lelaki itu direman dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata, katanya.

Mengulas kes berlainan, Mohan singh berkata polis berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kenderaan dalam satu sekatan jalan raya di Batu 2 1/2 Jalan Cheras kelmarin.

"Lelaki yang menaiki kereta Naza Citra itu merempuh sekatan berkenaan bagi mengelak daripada ditahan. Polis bagaimanapun berjaya menahan kereta suspek.

"Siasatan mendapati kereta itu merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang dalam tahun ini di Wangsa Maju," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 41 tahun itu memiliki 12 rekod lampau.

"Pemeriksaan di dalam kereta itu tidak menemui sebarang senjata, namun kita jumpa banyak kunci yang dipercayai kunci kereta.Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967," katanya.- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular