Wednesday, April 20, 2011

Dasar Pandang ke Timur berbalik ke Malaysia

SHAH ALAM - Siapa sangka, 30 tahun selepas Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad, masyarakat Jepun yang dijadikan contoh kini sebaliknya memandang ke arah kita pula.

Menariknya, yang menjadi saksi ‘Dasar Pandang ke Malaysia’ oleh orang Jepun adalah anak kepada arkitek dasar itu sendiri, Datuk Mukhriz.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, dalam kunjungannya ke negara matahari terbit Februari lalu, sekumpulan pelabur Jepun menyebut di hadapannya mengenai ‘Dasar Pandang ke Malaysia’ dalam satu perbincangan.

“Pada mulanya, saya jangka mereka mungkin sekadar menyebut begitu saja, dalam kata lain, tidak serius atau bergurau. Namun apabila beberapa kali ‘Dasar Pandang ke Malaysia’ disebut lagi selepas itu, saya tahu, mereka amat serius mengenainya,” kata Mukhriz ketika berdialog dengan wartawan Sinar Harian ketika mengunjungi Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Tertarik dengan perkara itu, kata Mukhriz, beliau cuba mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut daripada kumpulan pelabur itu mengenai apa yang mereka maksudkan.

“Mereka jelaskan kepada saya bahawa mereka kini memberi tumpuan terhadap negara kita berbanding negara-negara lain atas beberapa kelebihan. Jika dulu, mereka datang ke negara ini atas sebab kos terutama kos buruh yang murah, peningkatan kos kemudiannya menyebabkan mereka beralih ke negara lain.

“Bagaimanapun kini, ada beberapa perkara yang menyebabkan mereka mahu kembali semula ke negara kita termasuk kesinambungan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun (Dr Mahathir) 30 tahun dulu,” katanya.

Sebagai contoh, kata Mukhriz, dasar ekonomi perindustrian negara ini yang mengutamakan teknologi tinggi amat diyakini oleh pelabur Jepun untuk menanam atau menambah modal di sini.

“Selain itu, kita juga mempunyai prasarana teknologi maklumat yang lengkap menerusi Multimedia Super Corridor (MSC) selain kemudahan jalur lebar yang hampir menyeluruh di kawasan-kawasan yang strategik bagi ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, kata Mukhriz, apa yang membanggakan ialah pelabur Jepun menganggap kita kini mempunyai keupayaan dari segi teknikal dan juga tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan industri mereka hasil daripada pemindahan kepakaran kepada rakyat Malaysia di bawah payung Dasar Pandang ke Timur.

“Satu faktor yang menyebabkan mereka cenderung untuk memandang semula ke Malaysia ialah keadaan geografi di Jepun yang tidak stabil dengan bencana gempa bumi dan juga tsunami berbanding negara kita. Dengan jarak yang tidak begitu jauh selain kelebihan-kelebihan yang saya sebutkan tadi, mereka menganggap Malaysia adalah tempat yang paling sesuai bagi Jepun untuk berikan tumpuan,” katanya.

Mengenai prasarana teknologi maklumat dan telekomunikasi di negara ini sebagaimana yang disebutnya dianggap ‘maju dan memenuhi keperluan’ oleh pelabur Jepun, Mukhriz berkata, antara yang disebut adalah mengenai perancangan untuk mewujudkan sebuah lagi lagi lokasi pusat data mereka di negara ini.

“Selain itu, industri berteknologi tinggi yang ada di negara kita sekarang, bagi mereka adalah kesinambungan daripada industri semikondutor yang dibawa masuk pelabur Jepun ke sini di bawah Dasar Pandang ke Timur dahulu,” katanya.

Mukhriz juga berkata, perkembangan yang berkaitan dengan sikap pelabur Jepun itu diberi perhatian oleh pihak kementerian dalam merangka strategi pelaburan dan perdagangan dengan negara itu. 

Untuk rekod, Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan oleh Dr Mahathir pada 8 Februari 1982 dalam satu persidangan di Kuala Lumpur sebagai reaksi kepada dasar ‘Buy British Last’ yang diumumkannya pada Oktober 1981 sebaik mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular