Thursday, April 21, 2011

KUNGFU !!! ..'Nyaris kamera terbang'

GEORGETOWN - Berang selepas gambarnya dirakam beberapa jurugambar akhbar dan media elektronik, seorang lelaki yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati bertindak nekad menendang mereka sebaik dibawa keluar dari mahkamah.
 
Kejadian itu berlaku apabila jurugambar akhbar Kosmo, Zhafaran Nasib, 28, dan jurukamera Bernama TV, Mohd Izuan Mohd Zaki, 22, bersama jurugambar lain sibuk merakamkan gambar R Ravindran, 36, sebaik dibawa keluar untuk dihantar ke penjara. 

Zhafaran berkata, dia bersyukur kerana tendangan itu tidak terkena kameranya sebaliknya hanya pada pergelangan tangannya. 

Menurutnya, dia sudah menjangkakan bahawa tertuduh akan bertindak sedemikian kerana melihat wajahnya berubah sebaik gambarnya dirakam dari jarak dekat. 

“Pada mulanya, tertuduh yang berjalan dan diiringi dua anggota polis tidak menunjukkan sebarang reaksi selepas kami mengambil gambarnya namun secara tiba-tiba dia bertukar perwatakan dan bertindak agresif. 

“Nasib baik saya sempat mengelak, kalau tidak pasti kamera saya akan jatuh terpelanting,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan mahkamah semalam. 

Mohd Izuan pula berkata, kameranya model Canon XLH1s mungkin rosak selepas ditendang tertuduh ketika sedang merakamkan gambarnya sewaktu menuruni tangga di Mahkamah Tinggi. 

Beliau yang sudah dua tahun bertugas sebagai jurukamera berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pertamanya dan akan dijadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas. 

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak pengurusan mengenai kejadian ini dan mereka mengarahkan saya menghantar kamera kepada juruteknik untuk diperiksa. 

“Mujur saya memegang erat kamera, kalau tidak sudah pasti ia akan terjatuh akibat disepak kuat oleh tertuduh,” katanya. 

Bagaimanapun, kedua-dua pengamal media itu tidak berhasrat untuk membuat laporan polis kerana menganggap kejadian itu adalah cabaran dalam tugas seharian mereka. 

Sementara itu dalam prosiding yang dijalankan semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaki Mohd Yassin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Ravindran bagi pertuduhan pertama kerana melakukan rompakan kedai emas menggunakan senjata api empat tahun lalu. 

Selain itu, tertuduh dijatuhi hukuman hukuman penjara maksimum 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua iaitu merompak barang kemas bernilai RM800,000 dengan menggunakan sebatang tukul besi. 

Mohd Zaki menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati wujudnya keraguan pada kenyataan tertuduh ketika membuat pembelaan secara bersumpah dan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie. 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkapan dan hukuman gantung dijalankan setelah selesai proses rayuan. 

Ravindran diwakili peguam bela Naran Singh bagaimanapun hanya tunduk sebaik mendengar keputusan itu. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular