KUALA LUMPUR : Konflik bersenjata di Lahad Datu Sabah yang masuk minggu keempat mengundang kritikan keras daripada jeneral bersara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab berkata, kelewatan Najib Razak dan Kementerian Pertahanan membuat keputusan menyebabkan lapan anggota keselamatan terkorban.
Katanya, sekiranya tindakan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara sejak minggu pertama pencerobohan, tentunya situasi lebih mudah ditangani.
“Mengapa (operasi masih) diberi kepada pihak polis sedangkan musuh datang dari pihak luar? Ini tugas tentera.
Keputusan menentukan strategi (menyerang musuh) juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga kelihatan gagal mengenalpasti identiti dan keupayaan (persenjataan) musuh.
“Kerajaan sepatutnya memutuskan sama ada menggunakan taktik peperangan konvensional atau kaedah mengawal insurgensi (pemberotakan). Atau strategi bercampur antara kedua-duanya?” kata Hadi yang juga anggota sekretariat Majlis Rundingan Keselamatan KEADILAN.
Hadi turut membidas Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM kerana lalai melaksanakan tugas hingga gagal memberi amaran awal pencerobohan.
“Kita persoalkan unit perisikan tentera. Apakah mereka ambil mudah semua yang berlaku. Mengapa pencerobohan terjadi tanpa dikesan pada peringkat awal?
“Inilah akibat apabila BN memperguna unit perisikan untuk mengekori pemimpin Pakatan. Akhirnya tugas penting mempertahankan negara terabai.
“Saya cabar mereka mengambil tanggungjawab dan segera meletak jawatan,” tegasnya.
Selain itu, Hadi kecewa terhadap kepimpinan Najib yang patut mencari jalan penyelesaian, bukan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat.
“Beliau cuba mengalih pandangan umum dari krisis ini dengan menyalahkan Pakatan, seolah-olah krisis ini disebabkan oleh Pakatan dan bukan kelemahan pentadbirannya,” kata Hadi.
Anwar: Pencerobohan boleh ditangani segera
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat pencerobohan Lahad Datu oleh kumpulan bersenjata, sepatutnya boleh ditangani dengan segera.
Menurutnya, berdasarkan penerangan bekas-bekas jeneral kanan tentera yang menyertai PKR, beliau percaya ketumbukan tentera Malaysia mempunyai kekuatan untuk menangani pencerobohan itu dalam masa yang singkat.
"Perkara ini boleh ditangani dengan segera kerana saya percaya dengan kapasiti pasukan keselamatan kita.
"Dan kami (PKR) beruntung kerana kita mendapat penerangan dari bekas jeneral kanan askar yang menerangkan keadaannya dan kemungkinan ia boleh ditangani dengan pantas," katanya dalam sidang media selepas satu forum anjuran pejabat beliau di Kuala Lumpur petang semalam.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil sikap "bersedia dan tegas" dalam dasar keselamatan mereka.
"Apabila berurusan dengan kumpulan militan, kerajaan perlulah bersedia dan tegas.
"Itu sewajarnya telah jelas dalam polisi keselamatan kita," katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia kini bukan menentang orang Sulu tetapi sebaliknya mereka menentang penceroboh bersenjata.
Beliau turut menyeru agar isu pencerobohan yang merupakan isu keselamatan negara tidak dikaitkan dengan isu pilihan raya.
"Saya lebih gemar mengasingkan isu berkaitan keselamatan nasional ini daripada isu pilihan raya," katanya.
"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment