SHAH ALAM - Tindakan mengaitkan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung “tiada paksaan dalam agama” seolah-olah menggalakkan gejala murtad adalah satu rumusan tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan “tiada paksaan dalam agama” adalah prinsip kemuliaan Islam tetapi ini bukan bermakna ia menggalakkan kemurtadan.
"Mengaitkan prinsip ini dengan rela murtad menunjukkan kecelaruan pemikiran golongan sempit agama termasuklah sesiapa yang mengulangnya tanpa fahaman. Saya ada dalam majlis itu sebagai pembicara.
"Kenyataan ahli Parlimen Lembah Pantai itu dianggap seolah-olah menggalakkan kemurtadan adalah satu rumusan yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dr Mujahid merupakan antara panel yang hadir bersama-sama Nurul Izzah dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? di Subang Jaya Sabtu lalu.
Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, Nurul Izzah dalam forum tersebut juga menyebut tentang perlunya pendidikan dan dakwah supaya agama Islam dipelihara.
"Tiada paksaan bukan bermakna orang Melayu sewenangnya memilih agama lain kerana Islam itu penghayatan. Itulah semangat ucapan Izzah apabila menjawab soalan dari peserta tentang 'no compulsion'," katanya.
Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan prinsip mulia 'tiada paksaan' sebagai promurtad telah mencemarkan nama baik Islam.
"Itu bukan apa yang diperkatakan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai," katanya.
UMNO-BN HIPOKRIT DAN BERMUKA-MUKA DALAM MEMFITNAH NURUL IZZAH
SABAK BERNAM, 7 NOV: Tindakan Umno-BN memfitnah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai mengugat status Islam tetapi berdiam-diri tentang kelakuan pemimpin mereka sendiri menunjukkan sikap parti itu yang hipokrit.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno-BN membuat tuduhan melulu terhadap Nurul Izzah dan kononnya bertindak sebagai pembela bangsa Melayu dan Islam.
Tetapi Umno bermuka-muka apabila timbul perkara yang secara terang-terangan mengaitkan pemimpin Umno-BN itu sendiri.
“Siasatlah dia (Nurul Izzah) dahulu … tanyalah betul ke tidak betul…yang kilang arak San Miguel milik anak Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed) itu mereka (Umno-BN) tak berani nak cakap kenapa?
“Mereka (Umno-BN) secara lantang melaungkan..mana jabatan agama?…kalau Nurul Izzah, terus nak ambil tindakan, kalau ia melibatkan pemimpin Umno-BN?” katanya di dalam ceramah di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam, malam semalam.
Semasa berucap pada forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’ di Subang Jaya, Sabtu lalu, Nurul Izzah berkata Malaysia tidak seharusnya memaksa rakyatnya mengamalkan agama-agama tertentu.
Selepas kenyataannya dipaparkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, NGO seperti Perkasa dan Puteri Umno mendesak Nurul Izzah supaya bertaubat dan menarik balik kenyataannya kerana memberikan implikasi yang buruk kepada masyarakat dan agama Islam.
Bagaimanapun, Nurul Izzah bertegas bahawa kenyataanya diputar-belitkan dan beliau telah mengarahkan dua peguamnya Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah bagi memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa media lain.
Sebelum ini juga, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sendiri memberikan kenyataan mengelirukan mengenai perlaksanaan hukum hudud di Malaysia secara berulang kali namun pemimpin utama Umno-BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak memberikan sebarang teguran malah mengambil pendekatan mendiamkan diri.
Turut hadir pada ceramah tersebut Adun Batu Caves, Amirudin Shari, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan bekas Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Professor Dr. Abdul Aziz Bari.
Dalam isu berlainan, Dr. Aziz Bari berharap penduduk Sabak Bernam dapat memberikan peluang dan kepercayaan terhadap PR dalam pilihanraya akan datang sebagai usaha melaksanakan pelbagai dasar yang bermanfaat kepada rakyat.
Sebelum ini Dr Abdul Aziz telah diumumkan sebagai bakal calon parlimen Sabak Bernam.
“Walaupun terdapat perselisihan di dalam pentadbiran PR di negeri-negeri yang ditadbirnya, tetapi perselisihan bukanlah kerana merebut projek.
“Tetapi mengenai perbincangan suatu dasar yang lebih baik untuk rakyat,” katanya ketika memberikan ucapan di hadapan ratusan penduduk yang datang walaupun keadaan hujan lebat.-tvs
No comments:
Post a Comment