KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama, esok.
Anggota Parlimen Lembah Pantai itu berkata tindakan beliau itu adalah secara sukarela dan akan memberi keterangan berhubung perkara itu pada pukul 11 pagi di pejabat Jais di Shah Alam, Selangor.
"Selain memberi kenyataan apa yang disebut di dalam forum, saya juga akan membuat aduan kepada Jais mengenai laporan berita oleh beberapa akhbar tempatan yang mendakwa saya menyokong masyarakat Melayu bebas memilih agama," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Jais perlu melakukan siasatan ke atas Nurul Izzah berhubung kenyataannya berkaitan dengan kebebasan beragama.
Dua hari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Nurul Izzah bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.
Laporan portal berita pro pembangkang pada Nov 3 memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya pada 3 Nov.
Sementara itu, beberapa pemimpin Umno dan badan pertubuhan bukan kerajaan mahu Nurul Izzah mengakui kesilapan dan menarik balik kenyataannya berhubung isu kebebasan beragama.
DI SETIU, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Anggota Parlimen Lembah Pantai itu seharusnya mengakui kesilapan berhubung kenyataannya itu dan tidak menyalahkan media sedangkan memang ada rakaman mengenainya.
"Kalau mahu mengambil hati dan mahu mencari pengaruh di kalangan agama lain, janganlah sampai menggadaikan prinsip-prinsip yang telah menjadi asas kepada Islam.
"Sebagai orang Islam, kita jangan harus berbeda pendapat, walaupun kita berlainan parti politik, kerana isu melibatkan soal agama tidak patut dipolitikkan," katanya selepas merasmikan Minggu 1Malaysia Bermotosikal.
Di MELAKA, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kenyataan Nurul Izzah jelas bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dan menghina orang Melayu.
Sambil menyifatkan ia sebagai politik sempit pembangkang untuk meraih undi bagi mencapai matlamat memegang tampuk kuasa, beliau meminta orang ramai berfikir sama ada melalui kenyataan seperti itu ia akan membawa perubahan yang baik untuk negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada pelajar sekolah rendah Negeri.
Di JOHOR BARU, Majlis Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung Johor) mahu Nurul Izzah menarik balik kenyataannya mengenai kebebasan orang Melayu memilih agama.
Ketua Penerangannya Abdullah Md Yusof dalam satu sidang akhbar menyifatkan kenyataan tersebut sebagai menghasut orang Melayu dan boleh diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk mendesak kerajaan untuk menggubal perlembagaan.
"Ini akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk mendesak kerajaan untuk menggubal perlembagaan supaya orang Islam boleh menukar agama mereka kepada agama lain.
"Oleh yang demikian kami yang mewakili 315 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam membantah sekeras-kerasnya kenyataan itu dan meminta Nurul Izzah menariknya balik serta memohon maaf kepada orang Islam negara ini secara terbuka," katanya.
Abdullah bersama lebih 20 orang anggota Gabung Johor sebelum itu membuat laporan polis berhubung kenyataan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini hari ini.
Gabung Johor mendesak agar pihak berkuasa agama di peringkat nasional dan negeri menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Nurul Izzah dengan segera.
Mereka juga mahu agar polis dan Kementerian Dalam Negeri membuat siasatan sekiranya kenyataan Nurul Izzah itu bercanggah dengan undang-undang. - - Bernama
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment