Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa larangan menggunakan ruang sidang akhbar di Parlimen oleh bukan anggota parlimen yang berkuatkuasa serta merta sengaja dibuat untuk menghadkan pergerakannya.
“Saya memang sudah menjangka tindakan seterusnya yang akan diambil oleh Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz adalah dengan menggunakan kuasanya untuk menghalang saya dari membuat sidang media di Parlimen.
“Beliau seharusnya sedar bahawa Parlimen adalah institusi tertinggi milik rakyat di negara ini.
Ia wajar disemarakkan dengan isu rakyat baik di dalam atau luar dewan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, “tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dan pengurusan Parlimen menghadkan akses rakyat biasa untuk ke Parlimen dan bersuara melalui sidang media hanya akan merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen.
“Pada fikiran saya, Nazri sekali lagi mengambil tindakan yang berunsurkan “conflict of interest” kerana sidang-sidang media yang akan datang mungkin akan berkisar mengenai beliau.
“Sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai apa-apa halangan dengan sidang media yang dibuat di Parlimen,” jelas Rafizi.
Malah katanya, ketika isu NFC dibongkarkan dan bekas rakan kabinet beliau Dato’ Seri Shahrizat Jalil menjadi topik hangat sidang media, beliau langsung tidak membantah terhadap sidang-sidang media di Parlimen.
“Beliau juga dipetik berkali-kali melalui sidang media di Parlimen turut sama mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.
“Hanya apabila beliau yang menjadi bahan sasaran sidang-sidang media kebelakangan ini ekoran persoalan mengenai hubungan beliau dengan Michael Chia, barulah timbul soal hak menggunakan Parlimen untuk sidang media.
“Sebab itu saya terus mengulangi saranan saya supaya Nazri mengambil sikap yang lebih terbuka dan tenang seperti Shahrizat dalam menghadapi persoalan mengenai integriti dan perhubungan beliau dengan ahli perniagaan yang disiasat.
“Keputusan terbaru Parlimen ini sedikit pun tidak merencatkan rancangan PKR untuk menumpukan perhatian kepada kes Nazri. Sidang media akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak media akan dimaklumkan lebih awal,” ujar Rafizi.
Bernama melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengisytiharkan ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen, adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen sahaja berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata orang luar yang masuk ke Parlimen dilarang menggunakan fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar walaupun ditemani oleh anggota Parlimen Bebas, Barisan Nasional mahupun pembangkang. -FMT
Pembangkang Bantah Peraturan Halang Bukan MP Adakan Sidang Media Di Parlimen
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan bagi melarang selain daripada ahli Parlimen mengadakan sidang media di lobi Parlimen mendapat sambutan dingin daripada wakil rakyat pembangkang.
Menurut mereka peraturan berkenaan seolah-olah menyekat hak mereka untuk mengetengahkan isu rakyat kepada pihak media.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, peraturan itu juga dilihat seperti menghalang kebebasan media.
"Apabila kita buat sidang media, sudah pasti ada isu tertentu yang media ingin dengar bukan daripada wakil rakyat sebaliknya orang yang berkenaan.
"(Peraturan) ini adalah satu sekatan yang menghalang kita buat pendedahan.Secara tak langsung ia juga menyekat kebebasan media di mana isu-isu yang sepatutnya boleh di bawa ke Parlimen dan didedahkan kepada media akhirnya tidak dapat disampaikan," katanya di bangunan Parlimen di sini, Khamis.
Beliau mengulas mengenai penguatkuasaan peraturan bagi menghalang selain daripada ahli Parlimen daripada menggunakan kemudahan ruang sidang media yang dikhususkan untuk mereka.
Penguatkuasaan peraturan tersebut berdasarkan Peraturan Mesyuarat 93 dan 94 yang bertujuan melindungi keistimewaan dan hak-hak ahli Parlimen. Berhubung kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa kehadiran kumpulan pelawat ke Parlimen untuk mengadakan sidang media di ruang khas yang mempunyai logo Parlimen sebagai sesuatu yang memalukan, Tian bagaimanapun tidak bersetuju dengannya.
"Logo Parlimen bukan isu, ini adalah sesi Parlimen terakhir, jadi mengapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan?" katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut melahirkan pandangan yang sama membantah penguatkuasaan peraturan tersebut.
"Boleh (buat sidang media di luar Parlimen) tapi ketika ini Parlimen sedang bersidang, kami adalah wakil rakyat, kami mewakili suara rakyat... kami bawa isu rakyat," katanya-mstar
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment