Tuesday, November 6, 2012

Fitnah dari Utusan : Nurul Izzah mahu saman

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mahu mengambil tindakan perundangan ekoran laporan media beliau mengeluarkan kenyataan rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuk kepada orang Melayu.

"Peguam akan mengambil langkah seterusnya," ujar Nurul Izzah menerusi laman mikro Twitter milik beliau.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam memaklumkan mungkin akan memanggil Ahli Parlimen Lembah pantai itu untuk membantu siasatan.

Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan itu hanya boleh diambil sekiranya pihaknya menerima maklumat berhubung perkara tersebut.

“(Kenyataan itu) serupa juga dengan kenyataan semua agama adalah sama. Ia salah, mana boleh semua agama sama. Islam lain, Tuhan sudah kata Islam adalah sebaik-baik agama.

“Kalau ada rakaman itu minta dipanjangkan kepada kita. Tak semestinya ada laporan, maklumat (sudah) cukup, kita boleh bertindak. (Setakat ini), kita tak dengar maklumat itu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Nurul Izzah yang didakwa membuat kenyataan itu sebagai menjawab soalan peserta sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama sama seperti orang bukan Melayu dalam satu forum di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Terdahulu media melaporkan, Nurul Izzah dipetik sebagai berkata: “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan agama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Bagaimanapun, beliau dilaporkan tidak menyatakan orang Melayu sepatutnya diberikan hak dari segi undang-undang berkaitan kebebasan beragama.

Nurul Izzah menerusi blog beliau, www.nurulizzah.com berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas pertanyaan lanjut yang diterima beliau ekoran kenyataannya di dalam forum “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” sebagai seorang panelis.

"Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.

"Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

"Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan,"katanya.

Menurut pemimpin PKR itu lagi, beliau kesal terhadap percubaan memutarbelitkan kenyataannya yang kelihatan seolag-olah meremehkan soal aqidah "atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad."

"Saya cenderung mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

"Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama," tulis beliau lagi.

Ekoran kenyataannya Nurul Izzah turut dikecam oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang yang menganggap beliau sebagai menggadai agama.

Ketua Penerangannya, Muhammad Faiz Hashim berkata, kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan seorang Islam seperti Nurul Izzah, sebaliknya beliau perlu mempertahankannya. SH

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular