Friday, November 11, 2011

Kerajaan Negeri Tidak Pernah Lantik Agen Untuk Rumah Kos Rendah

SHAH ALAM,11 NOVEMBER : Orang ramai yang ingin membeli rumah kos rendah dari Kerajaan Selangor diingatkan supaya berwaspada kepada pihak yang menyamar sebagai agen pembelian.

Ini kerana kerajaan tidak pernah melantik agen pembelian manakala permohonan bagi rumah-rumah tersebut boleh dibuat terus kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor dengan membayar hanya RM2 untuk borang.

Di dalam kes terkini, seramai 686 individu telah ditipu oleh pihak ketiga yang menyamar sebagai agen pembelian.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak Kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen bagi menguruskan pembelian rumah kos rendah,” kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

“Diingatkan juga bahawa tiada bayaran muka atau deposit untuk mendapatkan borang atau rumah, borang permohonan itu sebenarnya hanya boleh dibeli dengan harga RM2 sahaja, merujuk kepada laporan ini (laporan polis) ada pihak yang menadakwa mereka membeli borang dengan harga sehingga RM200.”

Hari ini, satu memorandum diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar berhubung nasib 686 pembeli rumah kos rendah yang mendakwa diri mereka dianiayai oleh pihak ketiga.

Difahamkan, para pembeli ini ditawarkan unit rumah kos rendah bernilai RM 42 ribu dengan pembayaran deposit 5 peratus atau RM2,100 dan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM297 sebulan tanpa faedah.

Mengulas lanjut Iskandar turut mendedahkan bahawa Lembaga Perumahan Hartanah Selangor telah membuat empat laporan polis berhubung tindakan pihak ketiga yang mengutip bayaran deposit untuk memohon rumah kos tersebut.

“Laporan Polis dibuat daripada 14 Oktober 2010 hingga 5 Oktober 2011 berhubung dengan kegiatan orang tengah yang mengambil RM 2500 sebagai deposit. Saya nafikan pihak Pakatan Rakyat terbabit dalam hal ini.

“Kes ini berpanjangan kerana tak ramai tampil ke depan untuk buat laporan polis kerana mereka turut rasa bersalah kerana beri rasuah untuk dapat rumah,” kata beliau dalam sidang media selepas tamat persidangan DUN hari ini.

Beliau berharap selepas selesai persidangan DUN kali ini, beliau dapat bertemu para pembeli berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Menerusi satu kenyataan media, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli-pembeli Rumah Kos Rendah, Mohamed Durrany Izam mendakwa kesemua pembeli rumah kos rendah itu menemui seorang pemimpin parti yang dikenali sebagai Yatim Datuk Abu Bakar.

Memorandum berkenaan diserahkan kira-kira jam 4 petang tadi kepada pegawai khas Menteri Besar Selangor, Noramin Ahmad. TVS


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular