Thursday, November 10, 2011

Panas!! Dua Blogger akan di SAMAN oleh MB Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blogger yang didakwa memfitnahnya, setelah kecewa dengan dakwaan tangkapan khalwat melibatkan dirinya.

Menurutnya, beliau terpaksa bertindak menyaman pemilik blog http://guanopulok.blogspot.com dan http://msomelayu.blogspot.com kerana terlalu sedih dan kecewa dengan fitnah melampau yang ditujukan kepadanya dengan membabi buta.

Kata Ahmad, dia mengetahui tentang tuduhan itu sejak tiga bulan yang lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana hanya menyifatkannya sebagai satu cubaan serangan politik kepadanya.


“Tetapi saya tidak boleh bertahan apabila anak gadis saya yang balik bercuti menangis kerana diejek rakan-rakannya mengenai itu.

“Sebagai bapa, saya perlu lakukan sesuatu kerana ia sudah melibatkan orang-orang yang rapat dengan saya. Setelah berfikir panjang, saya rasakan saya perlu ambil tindakan dan akan bertindak menyaman blog-blog yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan SME Bank di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Menurut Ahmad, dia sudah mengenal pasti pemilik blog ‘MSO’ dan kini sedang mengenal pasti pemilik blog ‘guanopulok’ kerana siasatan pihaknya mendapati, alamatnya telah dipindahkan ke California, Amerika Syarikat.

“Kita akan buat laporan polis dalam sehari dua ini dan akan bincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang. Macam-macam dakwaan mereka, sehingga ada yang kata saya kena tangkap basah dengan pelajar UiTM, pramugari, ada kata budak Besut, Pasir Panjang dan macam-macam lagi.

“Ini tidak berasas. Walaupun saya tahu ini adalah serangan politik tetapi demi maruah anak saya dan keluarga, saya akan mengambil tindakan. Kita orang politik, tahan tekanan tapi anak-anak saya dan keluarga bukan orang politik. Kesianlah mereka,” katanya.

Kata Ahmad, dia mengenali pemilik blog ‘MSO’ itu kerana sebelum ini, banyak menulis mengenai artikel berkaitan Pas manakala pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di California bagi mengenal pasti pemilik sebuah lagi blog itu.

Menurutnya lagi, sekiranya bertanggungjawab terhadap tuduhan itu, mereka yang berkenaan harus tampil dan bukannya bersembunyi.

“Dalam Islam, memfitnah lebih bahaya daripada membunuh. Saya kecewa dengan tuduhan ini. Saya harap undang-undang siber ini digubal agar tindakan tegas termasuk penjara dapat dikenakan terhadap mereka yang memfitnah,” katanya. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular