Tuesday, November 8, 2011

Adakah Najib juga anti-Melayu

najib and malay workersSetiausaha publisiti DAP Tony Pua menolak dakwaan yang membidas kenyataannya yang mencadangkan Pakatan Rakyat mengecilkan kakitangan perkhidmatan awam jika mereka berkuasa bagi mengurangkan kos perbelanjaan negara dan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga telah memperkenalkan langkah-langkah yang sama.

"Perdana Menteri sendiri mengumumkan dasar (ketika pembentangan bajet) bagi membolehkan kakitangan awam bersara awal secara sukarela dan sistem bagi memecat kakitangan awam yang telah melanggar protokol tatatertib, adalah ini bermakna perdana menteri juga anti-Melayu?" soalnya kepada pemberita selepas menghadiri sebuah forum ekonomi di Kuala Lumpur malam tadi.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sejak minggu lalu melancarkan siri laporan yang membidas Pua dan memilih menjadikan kenyataan itu sebagai isu perkauman.

Terdahulu pada forum berkenaan, Pua berkata beliau dibidas hebat berhubung kenyataannya yang mahu membantu negara berbelanja secara berhemah itu. Kritikan juga dibuat oleh ahli parlimen Johor Bharu Datuk Sharir Samad dan timbalan speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Saya langsung tidak menyebut perkataan Melayu atau Bumiputera dalam keseluruhan ucapan saya tetapi apabila ini disiarkan oleh Utusan Malaysia, orang yang rasional seperti Sharir Samad juga berkata DAP adalah bersifat rasis kerana ingin mengurangkan jumlah kakitangan awam.

"Apabila Najib kata (langkah-langkah untuk mengurangkan perkhidmatan awam), semuanya baik, tetapi apabila Tony Pua kata, maka beliau adalah bersifat perkauman," katanya sinis.

Dalam nada yang serius, Pua berkata kontroversi itu timbul selepas beliau menjawap soalan seorang hadirin di sebuah forum di Johor Baharu mengenai cara Pakatan menyelesaikan kos perkhidmatan awam yang naik secara mendadak.

Katanya, kos gaji kakitangan awam dan juga pencen telah meningkat tiga kali ganda iaitu pada RM20 bilion pada tahun 2000 kepada jangkaan RM61.4 bilion bagi tahun 2012.

"Ia mungkin antara cabaran terbesar yang harus diselesaikan jika Pakatan mengambil alih Putrajaya. Kita tidak boleh memecat semua penjawat awam tetapi kita perlu mengambil langkah-langkah untuk menyusun semula dan mengurangkannya dari masa ke masa."

Malaysia, katanya mempunyai lebih 1.2 juta kakitangan awam dan ratio negara ini adalah 4.6 peratus berbanding hanya 2 peratus bagi negara-negara di rantau ini. Malangnya, BN mempolitikkan masalah berkenaan apabila pembangkang menimbulkan perkara itu. MK

Karut: Agenda DAP hakis dominasi Melayu
KUALA LUMPUR, 8 Nov: Kebimbangan yang cuba dibangkitkan oleh akhbar harian Utusan Malaysia bahawa DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu adalah tidak berasas kerana kedudukan mereka dilindungi undang-undang, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari (gambar), lapor Malaysiakini.

"Dalam mana-mana kes, kedudukan anggota perkhidmatan awam dilindungi oleh perlembagaan. Maka ketakutan yang cuba disemai oleh Utusan adalah karut semata-mata.

"Angota perkhidmatan awam tidak boleh dipecat dengan senang. Begitu juga dengan kenaikan pangkat mereka dan perkara sebagainya," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk laporan muka depan akhbar milik Umno itu, semalam yang memetik ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Zulkifli Nordin sebagai berkata DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara kerana parti berkenaan tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu.

“Mereka (DAP) memang ada agenda tersembunyi menerusi hasrat tersebut dan bukanlah semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti didakwa.

“Mereka ini memang tidak boleh tengok orang Melayu lebih sedikit dalam sesuatu. Kita (Melayu) memang ramai dalam sektor awam, jadi mereka cuba untuk mengurangkan penguasaan kita dalam sektor tersebut,” kata Zulkifli (kiri) dipetik Utusan.

Akhbar itu juga memetik Senator Ezam Mohd Noor berkata, DAP bersikap rasis dan menanam kebencian terhadap orang Melayu dan asas negara.

Suruhanjaya Diraja

Ahad lalu kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat juga menghentam pemimpin DAP, terutama setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan Rakyat akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.

Meskipun Abdul Aziz berkata beliau bersetuju dengan hujah-hujah yang dibangkitkan oleh Pua dan kebimbangannya mengenai perkhidmatan awam di negara ini adalah benar, namun beliau menasihatkannya supaya berhati-hati dengan isu tersebut.

"Beliau telah menimbulkan beberapa hujah yang baik tetapi beliau mesti ingat bahawa majoriti besar perkhidmatan awam yang berjumlah 1.3 juta adalah orang Melayu. Kira-kira 150,000 adalah anggota tentera dan 100,000 lagi bersama pasukan polis."

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya berkuasa, mereka perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menilai kedudukan perkhidmatan awam dan mengesyorkan langkah-langkah perlu bagi memperkukuhkannya.

Ini, katanya, dapat mengatasi beberapa masalah dalam perkhidmatan awam, seperti keberkecualian yang telah terjejas, terutamanya semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini termasuk melaksanakan sumpah setia atau Akujanji dan amalan memberi kontrak kepada pegawai atasan yang melunturkan semangat kakitangan perkhidmatan awam. Etika perkhidmatan awam tercemar kerana politi.”

Menurut Abdul Aziz, kakitangan awam perlu berkecuali kepada kerajaan yang medmerintah. Kesetian mereka hanya kepada negara dengan Yang Di-Pertuan Agong sebagai lambangnya.

"Atas sebab ini, bagi saya Akujanji adalah tidak berperlembagaan," kata Abdul Aziz. HD 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular