Tuesday, October 25, 2011

Laporan Audit: Kementerian, jabatan belanja lebih peruntukan


KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan hari ini antara lain mendapati beberapa kementerian dan jabatan membelanjakan peruntukan untuk belanja mengurus melebihi jumlah yang ditetapkan.
Menurut laporan berkenaan, peruntukan muktamad bagi perbelanjaan mengurus bagi 2010 ialah RM149.06 bilion, bertambah sebanyak RM10.78 bilion dari jumlah asal RM138.28 bilion.
Bagaimanapun jelasnya, tambahan peruntukan ini masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan berjumlah RM151.63 bilion, iaitu melebihi RM2.57 bilion daripada jumlah yang diperuntukkan.

Laporan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang itu berkata, mengikut peraturan kewangan, sesuatu perbelanjaan hanya boleh dilakukan jika peruntukan kewangan yang diluluskan mencukupi.

“Semakan audit mendapati peraturan ini tidak dipenuhi sepenuhnya oleh beberapa kementerian/jabatan yang telah berbelanja melebihi peruntukan.

“Adalah juga didapati beberapa kementerian/jabatan tidak membelanjakan peruntukan/tambahan peruntukan yang diluluskan.

“Ini menunjukkan masih ada kelemahan dari segi perancangan dan pengurusan perbelanjaan walaupun isu ini sering dibangkitkan,” jelas laporan audit yang lewat dikeluarkan selama 17 hari dari tempoh pembentangan Belanjawan 2012.
Menurut laporan itu lagi, analisis yang telah dijalankan terhadap perbelanjaan mengurus 2010 mendapati 138 kelemahan pengurusan perbelanjaan berjumlah RM360.96 juta.

Sebanyak 75 kes perbelanjaan melebihi peruntukan berjumlah RM306.01 juta telah berlaku di 14 kementerian dan jabatan bagi bayaran perkhidmatan dan bekalan, aset serta pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertahanan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,

“Pada pendapat audit, sungguhpun peruntukan keseluruhan bagi beberapa kementerian yang terlibat dengan perbelanjaan melebihi peruntukan masih mempunyai baki, namun kementerian/ jabatan berkenaan perlu memastikan peruntukan mengikut objek am bagi setiap aktiviti tidak terlebih dibelanjakan selaras dengan peraturan kewangan yang ditetapkan,” kata laporan audit itu.

jelasnya, sebanyak 21 kementerian persekutan telah memohon peruntukan tambahan, pendahuluan daripada Kumpulan wang luar jangka serta membuat viremen berjumlah RM45.07 juta.

“Bagaiaman pun tambahan peruntukan dan viremen yang diluluskan itu tidak dibelanjakan malahan peruntukan asal masih mempunyai baki berjumlah RM24.95 juta. Keadaan ini boleh dielakkan sekiranya kementerian/jabatan berkenaan memantau peruntukan dengan teliti.

Semakan Audit juga mendapati secara keseluruhan, 9 kementerian/ jabatan telah berbelanja sejumlah RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan yang diluluskan untuk kementerian dan jabatan berkenaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular