BN Ceroboh UPM, BHEP ‘Organ’ Penganjur?
Kibaran bendera dan banner parti pembangkang Selangor, Barisan Nasional (BN) sepanjang jalan menuju ke Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam menimbulkan curiga dalam kalangan staf dan mahasiswa UPM.Majlis Penerangan Perdana Nurani Rakyat, bertemakan Yakini BN, Sayangi Selangor anjuran Barisan Nasional (BN), dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Malaysia menimbulkan persoalan banyak pihak.
Antaranya, bendera dan banner digantung sekitar 2.00 pagi hari yang sama dipercayai bahawa program ini dianjurkan secara mengejut dan khusus untuk ahli BN yang kebanyakannya datang dari luar ketika cuti semester bermula. Menurut seorang saksi, van BHEP digunakan untuk membawa banner dan bendera untuk digantung sepanjang jalan di fakulti.
“Kami barisan Pro-Mahasiswa mengecam keras pencerobohan mana-mana parti politik dengan penganjuran program bersifat kepentingan parti di kampus. Kuasa politik bukanlah alasan untuk memperalatkan kampus dengan sewenang-wenangnya sebagai medan kempen parti secara terang-terangan.” tegas jurucakap Pro-Mahasiswa UPM, Ahmad Al-Meseiry.
Dalam program tersebut, kira-kira 1500 peserta yang terdiri daripada ahli parti komponen BN yang majoritinya ahli UMNO. Lebih mengecewakan lagi, pelajar sekolah rendah dan menengah turut digula-gulakan untuk hadir bagi memenuhi ruang Dewan Besar PKSASS UPM.
Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang beria-ia kerajaan BN pertahankan, dicabuli oleh mereka sendiri dengan menggunakan universiti awam sebagai tempat berkempen menjelang PRU-13 serta mengheret staf dan mahasiswa mencabuli akta tersebut.
Sikap BHEP juga dilihat sebagai hipokrit terhadap mahasiswa kerana mereka dipercayai menjadi organ penting dalam penganjuran program haram ini. Ini kerana van yang digunakan untuk menggantung banner dan bendera menggunakan van UPM sewaktu orang lain sedang tidur lena.
“BHEP, jangan pula buat-buat tak tahu penganjuran program ini. Mahasiswa tahu kegiatan BHEP UPM. Pro-Mahasiswa tetap bertegas dengan pendirian bahawa sebarang program berunsur politik kepartian, ditolak keras oleh mahasiswa. ” kata jurucakap Pro-M UPM.
Sewaktu UIA masih belum reda dengan isu pencabulan hak akademik ke atas Prof Dr. Aziz Bari, UPM pula membiarkan hak akademik UPM dicabuli oleh pembangkang Selangor. Sekali pun parti politik tersebut terdesak berkempen menjelang PRU-13, kampus adalah bukan gelanggang mereka.
Pro-Mahasiswa mendesak agar BHEP memberi penjelasan dalam isu ini atau tindakan lebih tegas akan diambil oleh mahasiswa peringkat nasional. Parti-parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang ditegah mencemari taman ilmu UPM atau terpaksa menerima kebencian mahasiswa. anakmuaallaf.blogspot.com
No comments:
Post a Comment