KOTA BHARU, 27 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih gagal menunjukkan kejayaan reformasi dan transformasi sebagaimana yang dialung-laungkan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tidak nampak perkara itu boleh berjaya dan telah berjaya.
“Tidak ada. Ini kerana ianya mungkin penonjolan Najib ini seperti pemimpin yang ‘bersih’ yang mengamalkan transformasi dalam pentadbiran, pengurusan ke arah yang lebih baik itu, saya fikir tak ubah seperti slogan ‘Islam Hadhari’ yang dibawa Pak Lah.
“Mungkin apabila Najib tidak ada nanti, transformasi pun tidak ada lagi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Cakno Rakyat Dewan Undangan Negeri Bunut Payong di Telipot dekat sini, semalam.
Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman yang juga Adun Kemahang.
Tambahnya, itulah bentuk pengurusan dan pentadbiran Umno BN di mana setiap pemimpin yang naik itu, ada slogannya dan setiap slogan itu, hanya slogan sahaja.
Beliau turut mengulas kelambatan edaran buku Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.
Beliau mendakwa kejadian itu merupakan perkara boleh dipersoalkan, tidak kira sama ada ‘disengajakan’ atau tidak, namun kelambatan edaran itu dipersoalkan.
Lebih-lebih lagi, ujarnya dilihat di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 itu, pujian dan ‘pemberian kredit’ yang baik kepada agensi-agensi kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat temasuk Kelantan.
“Saya sendiri melihat dalam laporan itu mengenai Kelantan, banyak aspek diberikan pujian, yang disebut ‘pujian tanpa teguran’ (PBTG) itu meningkat daripada 2009 walau pun tidak semua perfect.
“Tetapi apa yang kita tengok, untuk Kerajaan Kelantanlah terutamanya banyak pujian daripada teguran. Itu satu pencapaian yang cukup baik dan diakui oleh pemimpin-pemimpin di luar Kelantan sendiri,” katanya. - HD
No comments:
Post a Comment