Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU PPKB 2011) baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011 yang lepas. RUU PPKB 2011 ini perlu melalui proses perundangan biasa iaitu perlu dibahaskan di Dewan Negara yang akan bersidang sesudah Dewan Rakyat selesai bersidang pada Disember 2011 nanti.
Apabila dibahaskan di Dewan Negara dan jika diluluskan, RUU PPKB 2011 tersebut perlu dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan Baginda. Setelah diperkenankan Ke Bawah Duli Tuanku, maka barulah Kerajaan boleh mewartakan penguatkuasaan RUU PPKB 2011 menjadi Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011.
Demikianlah prosedur sesuatu Rang Undang-Undang menjadi Akta yang akan mempunyai kuasa di bawah undang-undang. Selagi tidak diluluskan dan tidak diwartakan, sesuatu Akta tidak mempunyai apa-apa kuasa penguatkuasaan. MALANGnya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) nampaknya tidak mempedulikan semua prosedur ini lantaran kegelojohan mereka ingin menjarah tanah Kampong Bharu milik orang-orang Melayu yang dijamin oleh Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 (Malay Agricultural Settlement Enactment 1950).
Pada 19 Oktober 2011, KWPKB telah mengadakan suatu perjumpaan tertutup di antara KWPKB dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kononnya mempunyai kepentingan di Kampong Bharu dan juga Lembaga Pentadbir Kampong Bharu (Lembaga MAS) serta Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kampong Bharu. Perjumpaan tertutup tersebut diadakan di Aras 7 Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pada sidang media selepas perjumpaan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan bangganya memaklumkan bahawa KWPKB akan menubuhkan suatu pasukan interim dengan peruntukkan geran sebanyak RM15 juta bagi memulakan kerja-kerja awal pembangunan Kampong Bharu. Beliau dilaporkan berkata “Justeru tak kan kita nak tunggu selesai baru nak bangunkan kawasan itu”.
Kegelojohan amat ketara di pihak Menteri yang tidak sabar-sabar hendak masuk ke Kampong Bharu meneroka tanah orang Melayu sedangkan pemilik dan pewaris tanah masih belum mendapat maklumat pembangunan bagaimana akan dilakukan oleh Kerajaan. Malah pemilik dan pewaris juga tiada pengetahuan tentang cadangan ini. Kementerian hanya mengambil pandangan NGO-NGO yang disebutkan terdahulu iaitu PAKAM (Persatuan Anak-Anak Kampong Bharu) dan PPKB (Persatuan Permbangunan Kampong Bharu) yang kedua-duanya tiada sebarang lokus untuk mewakili pemilik dan pewaris tanah. Siapa NGO-NGO ini yang beriya-iya benar hendak membangunkan tanah Kampong Bharu sedangkan selama ini mereka hanya ibarat “hidup segan mati tak mahu”? Mereka hanya muncul apabila cadangan pembangunan ini disebut-sebut oleh Menteri. Ada udang di sebalik batu kah mereka ini?
KWPKB, walau pun sedar RUU PPKB 2011 masih belum diluluskan oleh Dewan Negara dan masih belum dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Agong untuk diperkenan malah lebih jauh lagi masih belum diwartakan, begitu gelojoh telah menimbang-nimbang melantik suatu pasukan interim dengan peruntukkan kewangan sebanyak RM15 juta bagi kerja-kerja awal. Sekali lagi jelas begitu gelojohnya mereka. Rang Undang-undang belum pun diluluskan, mereka sudah berkira-kira untuk meneroka tanah orang Kampong Bharu.
Peruntukkan geran RM15 juta tersebut juga menimbulkan persoalan. Bagaimana peruntukkan geran tersebut dibuat? Peruntukkan RM15 juta tersebut disalurkan kepada siapa? Pasukan interim yang dimaksudkan belum ditubuhkan tetapi dimaklumkan bahawa sebanyak RM9 juta daripada peruntukkan tersebut telah digunakan. Bagaimana peruntukkan tersebut digunakan? Siapa yang membelanjakan RM9 juta peruntukkan tersebut? Adakah Kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau NGO-NGO tersebut? Jika peruntukkan RM9 juta telah digunakan sebelum pembentukkan pasukan interim dan pembentukan Perbadanan, maka kenapa perlu disebutkan?
Pengumuman penubuhan suatu pasukan interim ini juga dengan jelas menunjukkan bahawa KWPKB telah mendahului Parlimen dan Yang Dipertuan Agong. Bagaimana boleh ditubuhkan dan diwujudkan suatu pasukan bagi menjalankan sesuatu tugasan dengan peruntukkan kewangan sedangkan Akta yang mengawal Perbadanan yang dimaksudkan masih belum diluluskan? Adakah ini cara Kerajaan mentadbir negara? Perundangan masih belum diluluskan dan belum dikuatkuasakan tetapi peruntukkan telah dibuat malah telah pun dibelanjakan? Ini jelas suatu tindakan menghina institusi Parlimen dan institusi Istana malah suatu tindakan yang melanggar perundangan negara.
Menteri juga menyatakan bahawa pihak Kementeriannya sedang dalam perbincangan bersama NGO-NGO dan GLC-GLC berkaitan tentang bentuk pembangunan yang akan dilakukan di Kampong Bharu. Sekali lagi jelas menunjukkan bahawa hak pemilik dan pewaris tanah tidak diambilkira malah diketepikan begitu sahaja. Pembangunan Kampong Bharu hanya mengambilkira pandangan NGO dan GLC sedangkan mereka ini tiada apa-apa kepentingan langsung berbanding pemilik dan pewaris tanah. Adakah pemilik dan pewaris tanah dilibatkan di dalam perbincangan pembangunan? SILA AMBIL PERHATIAN bahawa tanah yang hendak dibangunkan itu adalah milik pemilik dan pewaris tanah, bukannya milik NGO atau GLC. Bagaimana jaminan yang diberikan Menteri sebelum ini bahawa hak pemilik dan pewaris tanah diambilkira sedangkan pandangan hanya diambil daripada NGO dan GLC? Sekali lagi nyata dan terang bahawa semua jaminan yang disebutkan sebelum ini hanyalah omong kosong sahaja.
Kenapa begitu gopoh dan gelojoh hendak membangunkan tanah Kampong Bharu sehingga pemilik dan pewaris tanah tidak diberikan maklumat terperinci tentang Rang Undang-undang dan bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan? Pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu seharusnya sedar dan membuka mata dengan tindakan gelojoh dan gopoh pihak-pihak ini. Jangan biarkan tanah milik orang Melayu dan harga diri orang Melayu diperkudakan pihak-pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan mereka semata-mata tanpa memikirkan kelangsungan hidup dan maruah bangsa. - Zulhazmi Shariff
Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Sekretariat Pembangunan Kampung Baru.
No comments:
Post a Comment