Monday, June 13, 2011

Taktik serang Mat Sabu guna skandal seks akan ‘makan diri’ Umno-BN


KUALA LUMPUR, 13 Jun — Penganalisis-penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.

Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, lebih banyak taktik kotor dan usaha mengaibkan dari kedua-dua sebelah perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin “panas” di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum semakin dekat.
“Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.
“Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kata beliau, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media dikawal perikatan itu akan menggunakan isu berkenaan untuk terus melakukan serangan.
“Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya,” kata beliau.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata  “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.
Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.
Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.
“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.
Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.
Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.
“. . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka,” katanya.
Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.
“Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu,” katanya.
Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.
“Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa,” kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar. - TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular