Tuesday, June 14, 2011

Bersih 2.0 perhimpunan ‘kotor’


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyifatkan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan sebagai satu himpunan kotor dan menyusahkan rakyat.

Selain menjejaskan pendapatan penjaja dan peniaga kedai, Ahmad berkata perhimpunan itu juga akan merugikan kira-kira 13,000 pemandu teksi sekitar kota raya beroperasi seperti biasa.


Malah katanya ia turut membawa imej kepada negara luar seolah-olah Malaysia tidak aman sekaligus menakutkan pelancong asing.

“Jangan kerana hanya satu titik hitam negara luar melihat Malaysia huru-hara.

“Kita tahu dibelakangnya (penganjur) adalah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng…..semuanya pembangkang,” katanya dalam sidang media dipejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan di Menara Datuk Onn di sini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mempersoalkan penganjur himpunan itu yang mahu menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara di sini.

Perhimpunan ‘Walk For Democracy’ yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil itu nanti mahu menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka menuntut satu pilihan raya yang adil, antaranya mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen 21 hari, dan mahu menghentikan amalan politik rasuah.

“Kalau sekadar nak hantar memorandum, lantik sahaja 10 orang wakil. Hantarlah memorandum setebal 1,000 muka surat kepada Agong tapi janganlah susahkan rakyat lain.

“Kalau nak jerit sekalipun, jeritlah tiga hari tiga malam sekalipun dalam stadium, kenapa nak susahkan segala-galanya termasuk orang ramai yang ada di Kuala Lumpur semata-mata mahu menghantar memorandum,” soalnya.

Beliau turut menolak tanggapan perhimpunan Bersih itu nanti menjadi satu signifikan kepada gelombang kebangkitan rakyat seperti yang berlaku dibeberapa buah negara Timur Tengah termasuk Tunisia dan Mesir.

Politik ‘Machiavelli’

“Dulu pembangkang kata Umno amalkan politik ‘Machiavelli’ (matlamat menghalalkan cara) tapi kini mereka pula yang amalkan cara sedemikian, menggunakan rakyat untuk kepentingan politik,” katanya yang yakin bilangan penyokong yang akan turun pada 9 Julai depan nanti tidak akan mencecah sehingga sejuta orang sama seperti Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya bulan lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat seberapa banyak laporan kepada polis selain tuntutan saman terhadap penganjur Bersih 2.0.

Katanya, Persatuan Teksi Kuala Lumpur juga kini mahu menyaman penganjur tersebut kerana mengganggu pendapatan mereka, selain meminta agar menanggung kos kerugian RM150 kepada setiap 13,000 pemandu teksi yang terjejas.

“Dia bukan sahaja ancaman kepada Umno tetapi kepada negara. Buktinya tahap industri pelancongan kembali pulih seperti sedia kala enam bulan selepas anjuran Bersih 1,” katanya. - FMT


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular