Saturday, June 18, 2011

MAIPP: Panel bebas kaji kaedah pemilihan baru kariah


KUALA LUMPUR,  17 Jun - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dititah menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi merangka kaedah yang sesuai serta mengkaji tatacara baru dalam proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid di negeri itu.
Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin membuat titah ketika beliau dan Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas menghadap baginda di Istana Negara.
Beliau berkata semua anggota jawatankuasa yang bakal dilantik dan cadangan tatacara baru harus mendapat perkenan baginda terlebih dahulu selaku Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang.
"Baginda bertitah demikian supaya semua pihak sentiasa menjaga, memelihara, melindungi ketinggian, kehormatan dan kesucian masjid sebagai rumah Allah, sebagai institusi ibadah dan institusi ummah," katanya dipetik laporan Bernama Online.
Menurut laporan itu, Tuanku Mizan menitahkan pemilihan jawatankuasa kariah masjid di seluruh negeri bagi sesi 2012/2013 yang sepatutnya bermula esok, ditangguhkan.
Ketika ditemui wartawan di George Town hari ini, beliau berkata, memandangkan proses pembentukan jawatankuasa bebas mengambil masa lama, Tuanku Mizan juga berkenan melanjutkan tempoh pelantikan semua jawatankuasa kariah masjid sedia ada sehingga 31 Disember 2012.
Ellias berkata baginda juga berpesan agar kaedah pemilihan jawatankuasa kariah masjid pada masa akan datang perlu berasaskan semangat sukarela, keharmonian serta kasih sayang antara warga kariah sebagai panduan dan amalan dalam proses berkenaan.
Isnin lepas, kerajaan Pulau Pinang memutuskan kaedah pemilihan anggota jawatankuasa kariah masjid di seluruh negeri menggunakan sistem pengundian ala pilihan raya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata titah baginda membatalkan pilihan raya masjid membuktikan Tuanku Mizan mengambil kira perpaduan, muafakat dan kesejahteraan masyarakat Islam di negeri itu. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular