Monday, June 13, 2011

‘Jangan politikkan isu cadangan pembinaan empangan serbaguna’


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yahya Hussin mengingatkan pihak tertentu khususnya parti pembangkang agar tidak mempolitikkan isu cadangan pembinaan empangan serbaguna di Kampung Tambatuon, Kota Belud.

Beliau berkata, cadangan pembinaan empangan itu yang kini masih dalam peringkat kajian telah dipolitikkan oleh parti pembangkang semata-mata untuk kepentingan mereka.

“Saya minta agar cadangan pembinaan empangan dan penduduk Kampung Tambatuon tidak dieksploitasi oleh pihak pembangkang demi untuk kepentingan politik mereka.

“Kerajaan tidak akan melaksanakan sesuatu projek pembangunan tanpa mengambil kira kepentingan orang kampung termasuklah dalam kes di Kampung Tambatuon ini”, katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja dan meninjau kawasan cadangan pembinaan empangan Tambatuon.

Yahya berkata, kerajaan prihatin terhadap kepentingan rakyat dalam kes ini, sebab itu kajian (feasibility study) dijalankan dan akan disusuli dengan kajian-kajian lain yang berkaitan yang akan mengambil kira pandangan dan tuntutan penduduk kampung.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama daripada penduduk kampung Tambatoun agar dapat membenarkan jurutera perunding yang dilantik membuat kajian yang lebih mendalam mengenai kesesuaian pelaksanaan projek empangan itu.

Katanya, cadangan membina empangan Tambatuon diketengahkan berikutan perlunya kemudahan pengairan yang baik untuk kawasan penanaman padi yang luas di Kota Belud untuk membolehkan penanaman padi dilaksanakan dua kali setahun bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras.

Empangan berkenaan juga bakal membekalkan air bersih untuk keperluan domestik dan industri, pencegahan banjir dan juga untuk menjana tenaga eletrik.

Yahya berkata, cadangan membina empangan itu adalah untuk kepentingan rakyat, negeri dan negara.

Beliau turut meninjau aktiviti tanaman padi dan sistem tagal yang dilaksanakan oleh penduduk kampung Tambatuon, selain menerima memorandum bantahan pembinaan empangan itu daripada penduduk kampung.

“Saya berjumpa dengan penduduk kampung dan mendengar rungutan mereka. Justeru, kerajaan masih dalam peringkat kajian cadangan membina empangan itu yang akan mengambil kira bantahan dan suara penduduk kampung sebelum tindakan lanjut diambil.

“Pelaksanaannya adalah bergantung kepada keputusan terperinci yang akan dilaksanakan oleh kumpulan pakar, yang akan mengambil kira semua aspek, termasuk kebajikan dan sosio-ekonomi penduduk yang terlibat”, tegasnya. - FMT


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular