Friday, June 17, 2011

NAJIB TERPAKSA TUNDA PRU-13?

Oleh : MUTALIB M.D
PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mungkin terpaksa menunda hasratnya untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13 dalam masa yang terdekat ekoran ribut dalam cawan BN semakin bergelora; dibimbangi menjadi Tsunami yang akan menenggelamkan keegoan BN di Sabah dan Sarawak.

Walaupun pilihanraya umum ke 10 Sarawak berakhir pada 16 April lalu dan BN kembali memerintah Sarawak, namun ibarat kata pepatah, rumah siap tetapi pahat dan tukul masih berdentang-denting, sehingga kedudukan Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud belum lagi terjamin.

Najib mungkin masih ingat, Firaun meninggal dunia hanya kerana seekor nyamuk yang masuk ke lubang hidungnya dan bernyanyi lagu ‘Ya Habibi’ sehingga Firaun tidak dapat tidur siang dan malam setelah segala Tabib gagal mengeluarkan nyamuk berkenaan.

Akhirnya Firaun mati setelah menghentak kepalanya dengan kayu bagi mengeluarkan nyamuk yang melakukan ‘Serangan Ala-Kamikaze’ semata-mata kerana Firaun mengaku dirinya Tuhan dan mencabar keEsaan Allah Azzawajalla.

Sinonim dengan cerita Firaun ini, Taib menghadapi pelbagai pemberontakan dari dalam dan menunggu masa yang sesuai untuk digulingkan; termasuk dakwaan pemimpin BN sendiri bahawa Taib mengamalkan politik wang untuk membeli undi antara RM3,000 sehingga RM5,000 satu undi bagi kawasan yang diyakini beliau kalah.

“Orang Cina bukan tidak suka BN tetapi benci ‘Rambut Putih’. Dia makan sendiri dan yang jadi mangsa besan dia, Tan Sri George Chan,” kata Datuk Z ketika berbincang dari hati ke hati dengan rakannya dari Sabah di Coffe House Parlimen.

Walaupun Taib dapat meyakinkan Najib bahawa beliau mempunyai sokongan padu, tetapi sifatnya tergesa-gesa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena, bagaikan tanah gambut di sempadan Sarawak dan Kalimantan yang hanya mengeluarkan asap, tetapi terbakar membara di dalam tanah; tidak mungkin dapat dipadamkan, melainkan menggali parit dan memenuhi parit berkenaan dengan air untuk memutuskan kawasan tanah gambut yang sedang terbakar.

Majoriti Ahli Parlimen Sarawak yang ditemui di Parlimen, tidak mengatakan ‘ya’ ketika ditanya apakah kepimpinan Taib masih relevan; mungkin disebabkan faktor Kronisme dan Nepotisme yang begitu menebal dalam pentadbiran Taib selama ini.

Manakala Adun yang dihubungi pula memberikan pelbagai dalih, mungkin takut dengan kuasa Veto yang ada pada Taib kerana dalam sejarah Malaysia, hanya Taib yang mempunyai ‘Kuasa Mutlak’ untuk menghalang sesiapa sahaja memasuki Sarawak, terutama musuh politiknya, tetapi hanya sekali-sekala dilakukan pemimpin Sabah, termasuk Datuk Seri Yong Teck Lee ketika menjadi Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun secara konsensus, mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Taib dan kesal kenapa Perdana Menteri tidak menggugurkan Taib sebelum atau selepas pilihanraya lalu, sehingga dentingan pahat dan tukul kedengaran di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Manakala di Sabah, senario semakin buruk sehingga membentuk tiga kelompok utama yang berpuak-puak iaitu Kelompok Musa Aman, Kelompok Shafie dan Kelompok Salleh Tun Said.

Shafie yang terperangkap dengan permainan politik Pengerusi Task Force UMNO, Datuk John Ambrose, akhirnya sedar bahawa beliau terpedaya kerana terpaksa menghadapi perang dingin dengan adik Musa Aman, Datuk Anifah yang merasa tercalar dan kecil hati dengan tindakan Shafie menceroboh kawasannya tanpa sebarang muafakat.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Shafie, terutama ‘mengenderai’ LDP dengan bantuan Trojan Horse dalam LDP, Datuk Chin Su Phin akhirnya memuncak kerana Najib tersilap membuat perhitungan apabila melantik ‘Political Reject’ (Kata S Paranjothy) sebagai Senator, bagi mengesahkan ‘Perang Dingin’ benar-benar wujud.

Krisis dalam Pergerakan Pemuda UMNO Sabah merupakan ‘satu pertempuran’ dalam ‘Perang Dingin’ dan gagal diselesaikan dengan baik oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin dengan melemparkan ‘Bom Jangka’ kepada kepimpinan Musa Aman.

Manakala di kalangan pemimpin parti komponen BN pula mula menimbulkan isu PATI yang berlarutan sejak 30 tahun lalu dan membangkitkan isu penyerahan dan kegagalan Kerajaan Persekutuan membangunkan Labuan dan menjaga kepentingan rakyat Sabah di sana.

Ketika rakyat tempatan Sabah marah kepada Kerajaan Persekutuan berhubung isu PATI, Hishamuddin tiba-tiba mencurahkan minyak ke api kebencian yang sedang marak dengan melancarkan Program Pengampunan kepada 2 juta PATI yang tinggal secara haram di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Rakyat Sabah membantah kerana Hishamuddin gagal menjiwai Memorandum yang dihantar Datuk Wilfred Bumburing, malah bimbang PATI yang didaftar diberikan kerakyatan songsang sebagaimana yang dilakukan di era Mahathir; apatah lagi majoriti PATI yang bakal diampunkan, menjalankan kerja atau terlibat dengan kegiatan jenayah.

Jika Najib ingin meneruskan hasrat untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13 pada 11.11.2011, besar kemungkinan BN akan hilang lebih banyak kerusi jika kepentingan Sabah tidak dijaga, termasuk menyelesaikan isu PATI dan Labuan.

Tanpa sokongan Sabah dan Sarawak, adalah mustahil BN dapat mengekalkan kuasa dan mendapat kembali majoriti dua pertiga di parlimen kerana ramai meramalkan BN akan tewas atau kehilangan lebih banyak kerusi pada pilihanraya umum ke 13 jika Najib tidak peka dan salah perhitungan, seperti yang dilakukan Pak Lah pada pilihanraya umum ke 12 lalu.

Bukti paling ketara, Kerajaan belum mengumumkan bila memberikan peruntukan tambahan RM2 juta kepada setiap Ahli Parlimen sebagaimana yang diramalkan sebelum ini, sedangkan Kerajaan Negeri Sabah sudah mengeluarkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap Adun.

Apakah Sabah akan mengikuti Sarawak mengadakan pilihanraya mengejut? Terpulang kepada Musa Aman dan TYT atau terpaksa merujuk kepada Najib untuk kata muktamad kerana hanya Sabah yang akan menjadi benteng terakhir BN dalam PRU-13.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular