Tuesday, June 21, 2011

Masa untuk bincang sudah lalu, Bersih beritahu SPR


KUALA LUMPUR, 21 Jun — Bersih 2.0 menyambut baik kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan perbincangan mengenai pembaharuan pilihan raya tetapi menegaskan sudah terlambat untuk berbincang lagi ekoran penyalahgunaan yang jelas dan ketidakinginan kerajaan untuk memperbaiki sistem sedia ada.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada SPR atas pelawaan (mereka) tetapi masa untuk berbincang dan bercakap sudah berlalu,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar)dalam satu kenyataannya malam tadi.
“Ini ekoran laporan-laporan terbaru mengenai penyalahgunaan yang ketara ketika pilihan raya negeri Sarawak dan menjelang pilihan raya umum (ke-13),” kata beliau.
Bekas presiden Majlis Peguam itu memberitahu SPR ada mengesyorkan beberapa pendekatan dalam pembaharuan dalam pelaksanaan undi pos, tetapi idea-idea itu tidak jauh ke mana pun.
Ambiga juga memberitahu The Malaysian Insider, idea-idea itu mesti dibentangkan di Parlimen untuk dikuatkuasakan.
Justeru beliau menggesa agar SPR demi kepentingan awam mendedahkan idea-idea pembaharuan yang mereka syorkan kepada pentadbrian Najib, tetapi telah diketepikan.
Ambiga juga mengecam suruhanjaya itu yang mendakwa bahawa Bersih 2.0 bukan sebuah badan yang bebas, sedangkan pada masa yang sama ia juga tidak menggambarkan bahawa SPR seharusnya bertindak sebagai agensi yang tidak memihak mana-mana pihak.
“Tidak kisah dari mana syor-syor pembaharuan ini datang, sama ada kerajaan, pembangkang, NGO atau mana-mana warganegara. Mereka seharusnya mempertimbangkan kesemua syor berdasarkan merit,” katanya.
Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 dengan syarat Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini tidak diadakan.
“Kita bincang tetapi dengan syarat begitulah, tetapi jika nak mengadakan demonstrasi dan jumpa kita hanya sebagai “rubber stamp” atau alasan sahaja, tidak ada maknalah.
“Pada saya, demonstrasi itu tidak menyelesaikan sebarang masalah. Pindaan undang-undang tidak akan terjadi dengan sendirinya kerana demonstrasi, atau permohonan mereka akan diterima, tidak mungkin,” katanya.
Aziz meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang bercadang mengadakan demonstrasi jalanan haram pada 9 Julai supaya tidak menjadikan SPR sebagai kambing hitam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan kumpulan bersih itu yang tetap berdegil untuk mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini, walaupun dikecam pelbagai pihak. - Lagi >>> 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular