Sunday, April 24, 2011

Nasi Lemak Bukan Punca Utama Obesiti

KUALA LUMPUR, 23 April - Nasi lemak bukan punca utama masalah obesiti di kalangan murid sekolah kerana ia boleh berlaku menerusi pengambilan makanan harian berkalori tinggi yang tidak terkawal, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Tee E Siong.
“Kita tidak boleh menyalahkan nasi lemak sahaja sebagai punca utama,sebenarnya banyak masalah atau faktor lain yang menyebabkan masalah ini berlaku.


“Salah satu faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah mengambil makanan yang banyak kalori setiap hari. Seperti yang kita tahu, setiap makanan mempunyai kalori, jadi kita perlu bijak mengawal makanan harian yang diambil,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM) 2011 bertemakan ‘Kanak-Kanak Sihat, Negara Lebih Sihat-Mulakan Awal’ di sini hari ini.
Beliau berkata ibu bapa perlu menanamkan tabiat makanan secara sihat dalam diri anak masing-masing kerana usaha itu akan menjadi lebih sukar apabilamereka meningkat remaja.
“Kami percaya bahawa mesej tentang makanan secara sihat perlu disampaikan kepada kanak-kanak sejak usia muda seawal tiga tahun lagi,” katanya yang menggesa ibu bapa meningkatkan pengetahuan tentang pemakanan.
Dr Tee berkata kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah merupakan golongan paling berisiko terhadap kesan malnutrisi kerana mereka sedang membesar secara fizikal, selain mengalami perkembangan mental, emosi dan sosial pada peringkat ini.
“Berlebihan dan kekurangan pemakanan bukan sahaja boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan kesihatan anak-anak, malah berlebihan berat badan akan membawa kesan kesihatan yang tidak diingini di masa hadapan.
Ini juga boleh menyebabkan kanak-kanak berisiko tinggi terhadap penyakit berjangkit seperti darah tinggi dan diabetes pada usia muda,” katanya.
Karnival dua hari NMM 2011 di Pusat Pameran MidValley, yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Dr Anjli Doshi-Gandhi, bertujuan meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak menerusi pedidikan makanan.
Turut dilancarkan ialah dua penerbitan utama NMM iaitu buku ‘Resepi Hidangan Berkhasiat-Resipi Mudah Untuk Si Manja yang Sedang Membesar’ untuk ibu bapa dan buku ‘Ceria dengan Gaya Hidup Sihat’ untuk kanak-kanak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular