Saturday, April 30, 2011

Najib Gesa Golongan Pekerja Sedia manfaat Peluang Baru

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa golongan pekerja supaya mempersiapkan diri untuk meraih dan memanfaati peluang yang akan terhasil daripada cita-cita nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Beliau berkata matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan membawa manfaat kepada semua rakyat dan ia memerlukan golongan pekerja bertaraf dunia.

"Malaysia yang maju akan memerlukan pekerja yang mempunyai daya produktiviti, daya saing, keanjalan kemahiran dan berpengetahuan tinggi.
"Tidak dapat dinafikan bahawa transformasi negara dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam tempoh lima dekad dimungkinkan oleh para pekerja Malaysia yang dinamik dan berproduktiviti tinggi," kata Perdana Menteri dalam blog www.1malaysia.com.my hari ini, sempena sambutan Hari Pekerja esok.
Najib berkata kerajaan telahpun meletakkan segala asas transformasi kerajaan serta ekonomi yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat ini.
"Walaupun demikian, tanpa sokongan dan komitmen oleh para pekerja, wawasan ini akhirnya akan hanya tinggal impian semata-mata," katanya.
Beliau menegaskan negara Malaysia maju akan menyaksikan peningkatan kualiti infrastruktur asas yang disediakan kerajaan.
"Anak-anak kita akan mendapat akses kepada perumahan, perkhidmatan perubatan dan pendidikan yang lebih baik namun untuk semua ini menjadi realiti memerlukan kita menyingsing lengan mengukuhkan tekad serta melipatgandakan lagi usaha," katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua para pekerja Malaysia.
"Saban tahun kita menyambut hari yang amat bermakna ini sebagai pengiktirafan terhadap jasa-jasa para pekerja dalam membangunkan negara Malaysia yang tercinta," katanya.mStar

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular