KUALA LUMPUR, 27 April — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata gerakan “1Melayu, 1Bumi” - idea dilontarkan Utusan Malaysia dan disahut Perkasa, patut dianggap sebagai satu “perjuangan yang sah dan mulia” jika bertujuan menyatupadukan kaum Bumiputera dan Islam.
Sebaliknya kata beliau, gerakan itu bertujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina, maka ia sepatutnya dianggap perkauman dan ditentang habis-habisan.
“Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia,” katanya lagi.
“Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum Bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina, maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya. Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain,” kata beliau dalam entri terbaru blognya.
Justeru kata beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Besar ini menambah, perkauman atau tidak slogan ‘1Melayu 1Bumi” yang dicadangkan oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Zaini Hassan bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.
Gerakan itu akan dilancarkan oleh Perkasa di Alor Setar Sabtu ini.
Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata gerakan gelombang “1Melayu 1Bumi” akan menggugat matlamat gagasan 1 Malaysia yang sudah mula diterima ramai.
Bagaiamanapun beliau tidak melihat langkah menggerakkan gelombang itu berada dalam kedudukan yang betul memandangkan gagasan 1 Malaysia sudah pun diterima dengan baik menerusi pelbagai aktiviti diadakan ke arah itu.
Ahli Parlimen Jelebu ini berkata sebarang idea yang bercanggah dengan gagasan 1 Malaysia tidak seharusnya disokong.
Perkasa bertegas mahu meneruskan pelancaran gerakan “1Bumiputera” - menyahut idea “1Melayu, 1Bumi” walaupun tidak disambut baik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata idea gelombang “1Melayu, 1Bumi” adalah tidak baik untuk negara jika diadakan dan akan membawa kepada malapetaka.
Dr Khir juga menulis bahawa bagi orang Melayu sendiri corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan Bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.
“Justeru apakah mahu dipersalahkan penulis Melayu dan orang Melayu jika ada yang menganjurkan slogan 1Melayu 1Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?
“Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?” katanya.
Malahan soal beliau, apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman.
“Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman,” katanya lagi.
“Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?” tulis beliau lagi.
Bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ini bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia.
“Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap. Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia,” katanya lagi.
Rujuk Blog Dr Mohamad Khir Toyo
No comments:
Post a Comment