BUKIT MERTAJAM: Selepas 13 hari tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU), seorang lelaki yang menggemparkan Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, apabila tiba-tiba hidup kembali selepas diisytiharkan meninggal dunia pada 14 April lalu, menghembuskan nafas terakhirnya semalam.
Ng Swee Hock, 65, meninggal dunia di hadapan isterinya, Lim Siew Hua, 56, serta anak lelakinya, Ng Kean Hooi, 27, dan Ng Kean Liong, 25, di rumah mereka di Kampung Tok Elong, Tanah Liat di sini, kira-kira jam 10.50 pagi semalam.
Mendiang dibawa pulang ke rumahnya semalam, menggunakan ambulans kira-kira jam 10.40 pagi dan selepas perbincangan, keluarganya meminta jururawat mencabut alat bantuan pernafasan walaupun mengetahui peluang untuk Swee Hock hidup tipis tanpa alat itu.
Upacara sembahyang yang dipercayai untuk memudahkan roh mendiang ‘pergi’ secara aman dilakukan keluarga sebelum jururawat menanggalkan alat pernafasan dan dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.50 pagi.
Siew Hua berkata, mendiang suaminya tidak sedarkan diri sepanjang menerima rawatan di HSJ dan doktor juga menyatakan peluang suaminya untuk hidup, tipis.
Katanya, hospital membenarkan mendiang keluar hospital kelmarin tetapi disebabkan nasihat ketua agama, mereka membawanya pulang semalam.
“Saya dan ahli keluarga tidak sanggup melihatnya terus menderita, hari ini (semalam) selepas tiba di rumah kami meminta jururawat menanggalkan bantuan oksigen,” katanya.
Dalam kejadian 14 April lalu, Swee Hock dibawa ke HSJ selepas dia tiba-tiba berhenti bernafas di rumahnya dan pasukan perubatan melakukan ‘ardio pulmonary resuscitation’ selama 45 minit tetapi tidak pulih sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Namun, selepas beberapa jam, Swee Hock menunjukkan tanda bernafas dan dimasukkan ke ICU.
Berita Berkaitan : Demo LaNie: "Mati Hidup" Semula
No comments:
Post a Comment