Friday, April 29, 2011

MCA tidak akan terima jawatan jika PRU Ke-13 tidak memuaskan

MELAKA: MCA tidak akan menerima sebarang jawatan dalamkerajaan pusat dan negeri sekiranya keputusan yang diperoleh parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang lebih rendah daripada keputusan yang dicapai pada PRU ke-12.


Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pada PRU ke-12, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti terbabit.


"Oleh kerana kita (MCA) tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina maka untuk menghormati masyarakat Cina kita buat keputusan, kita tidak seharusnya memegang jawatan dalam kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden disini, hari ini.


Dr Chua berkata, namun begitu, MCA akan terus menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana parti itu masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khususnya dalam program tranformasi ekonomi dan tranformasi negara.

"Kami yakin beliau mampu dan mempunyai kewibawaan untuk memimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1Malaysia dan berpendapatan tinggi dan mencapai status sebagai sebuah negara maju," katanya. 

Dr Chua, berkata keputusan yang dicapai sebulat suara anggota mesyuarat terbabit tiada kaitan dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu apabila pengundi Cina lebih memihak kepada pembangkang. 

Ditanya sama ada keputusan untuk tidak menerima jawatan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Dr Chua berkata, perkara itu mungkin dibawa ke mesyuarat agung tahunan MCA pada 2 Oktober depan untuk mendapat perakuan terlebih dahulu. 
Mengenai keputusan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting yang tidak akan bertanding pada PRU akan datang, Dr Chua berkata, MCA mengucapkan terima kasih kepada Ong atas sumbangannya kepada parti dan negara.

"Ini satu contoh yang baik di mana pemimpin memberi laluan kepada muka baru dan kita berharap beliau terus beri sokongan dan tunjuk ajar kepada kepimpinan MCA," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Chua berkata, MCA bercadang untuk menubuhkan sebuah muzium di Melaka bagi mempamerkan sumbangan masyarakat Cina dalam mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ini. 

Katanya, MCA akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai penubuhan muzium itu. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular