Tidak serik-serik. Inilah sikap buruk sesetengah anggota masyarakat negara ini yang suka sangat berhutang.
Tewas kepada rasukan nafsu untuk berjudi dan berjoli, mereka ini juga sanggup berhutang dengan ah long atau ceti haram meksipun bayaran balik yang melambung-lambung tinggi jumlahnya.
Nada suaranya berselang-seli antara emosi geram dan marah. Mana tidaknya bukan sekali dua berhutang dengan ah long, ada yang sehingga lima hingga enam kali datang berjumpanya untuk mendapatkan bantuan apabila dihambat ah long.
Setelah bertahun-tahun berdepan dengan isu ah long, Chong memberitahu penulis yang beliau masih meneruskan usahanya bukan kerana kasihankan 'peminjam' yang sebahagian besarnya disifatkannya sebagai 'penipu'.
"Belas kasihan saya adalah untuk isteri, anak dan ibu bapa. Ini yang membuatkan saya masih mengendalikan kes-kes ah long ini. Saya tak boleh tengok orang kena buli.
"Saya juga ingatkan ah long jangan sekali-kali menganiayai orang-orang ini. Jika mereka lakukan juga, bukan saya sahaja yang akan cari mereka, MCA juga akan cari mereka," kata Chong kepada Bernama dalam satu wawancara di pejabatnya di Wisma MCA, Jalan Ampang di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jalan mudah
"Tengok orang jadi kaya, mereka pun nak jadi kaya. Orang lain membanting tulang, mereka cari jalan pintas untuk dapatkan banyak wang.
"Mereka tak tahu orang lain bersusah-payah nak cari wang. Semuanya nak cepat. Semuanya nak jalan senang. Apa lagi carilah ah long," kata Chong.
Profil peminjam ah long ini daripada pelbagai lapisan kehidupan dari peniaga, kontraktor kecil, pekerja restoran dan malahan suri rumah!
Perlukah pinjam dari Ah Long?
Bercakap mengenai peminjam Cina, katanya ada kes yang tulen di mana mereka terpaksa meminjam daripada ah long untuk menampung keperluan perniagaan.
Kata Chong, tanpa pinjaman ah long mereka mungkin terpaksa gulung tikar.
"Kebanyakan pekerja mereka adalah pekerja asing dan mereka ini akan bertindak liar jika tak dapat duit mereka.
"Kontraktor kecil ini tak ada pilihan. Kontraktor utama ada wang tapi tak mahu bayar kontraktor kecil ini.
"Duit yang kontraktor utama ini ada dibelanjakan untuk beli kereta besar. Kontraktor utama ini seorang Datuk, memalukan sahaja. Ada wang tapi tak mahu bayar.
"Orang yang mendapat anugerah Datuk sepatutnya menjadi seorang yang dihormati tetapi sebaliknya dia tidak berhati perut," tegasnya dengan nada marah.
Menurut Chong, dalam banyak kes yang melibatkan peminjam seperti ini, mereka bernasib baik kerana mendapat pertolongan saudara-mara dan sahabat-handai.
"Mereka ini mesti tolong, mereka tak biarkan orang yang bersusah-payah berniaga dan kemudian mengalami nasib malang ini begitu sahaja.
Bagaimanapun Chong mengingatkan mereka yang berniaga, perlu pandai menguruskan wang mereka.
"Memanglah kalau kita berniaga, ada masa untung, ada masa rugi. Bila untung mestilah pandai simpan dan kawal perbelanjaan.
"Kalau pun rugi, mesti pandai juga macam mana nak urus kerugian," kata Chong.
Joli dan judi
"Tengok kawan simpan perempuan, dia pun nak simpan perempuan. Mahu hidup berfoya-foya, ikut nafsu, tak kisah walau pun terpaksa pinjam wang daripada ah long.
"Bila perempuan ni balik ke negara mereka, apa yang tinggal? hutang berlambak dengan ah long," kata Chong.
Mengulas mereka yang meminjam untuk berjudi, beliau berkata majoriti yang datang ke pejabatnya mendakwa ada formula yang bagus untuk menang.
"Mereka ini fikir mereka bijak. Mereka kata tak kan sekali pun tak boleh menang.
"Masalahnya bila menang sekali, mereka jadi tamak, tak berhenti, duit habis," kata Chong.
Chong mengeluh panjang apabila bercakap mengenai perempuan Cina yang berhutang dengan ah long.
Peminjam perempuan
Statistik yang dikumpul Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menunjukkan 25 peratus daripada peminjam ah long orang Cina adalah perempuan.
"Saya katakan kepada mereka tak ada alasan langsung untuk mereka meminjam daripada ah long kecualilah kalau suami mereka sudah tak mahukan mereka lagi atau mereka dicerai dan terpaksa hidup sebagai ibu tunggal.
"Atau mereka ada suami yang sememangnya tak boleh diharap langsung. Suami yang tak bekerja dan hanya mengharapkan isteri keluar bekerja.
"Kalau pun mereka terpaksa bekerja, tak ada sebab langsung pinjam duit daripada ah long! Mereka tahu benar akibatnya meminjam daripada ah long, " kata Chong.
Beliau memberitahu Bernama, kebanyakan perempuan Cina yang datang ke pejabatnya untuk menyelesaikan masalah hutang ah long terperangkap dengan tabiat suka berjudi.
Chong menyebut satu kes melibatkan hutang ah long mencecah sehingga suku juta ringgit.
Menurut beliau, ada yang meminjam daripada ah long untuk menampung kerugian yang dialami ketika berjudi. Mereka membuat hutang baru untuk terus berjudi dengan harapan akan menang.
Melacur kerana hutang
Chong berkongsi satu kes melibatkan seorang isteri yang baik terpaksa melacurkan diri kerana berhutang dengan ah long.
"Saya ada beberapa kes yang macam ini terpaksa melacurkan diri kepada ah long. Kalau ah long ini tak boleh terima perempuan ini dia akan bagi kepada kawannya dan kawannya akan bagi perempuan ini kepada kawannya. Begitulah yang berlaku.
"Dari isteri yang baik menjadi pelacur kerana meminjam dengan ah long. Ini yang saya tahu. Bagaimana pula kes-kes yang ada tetapi saya tak tahu?" keluh Chong panjang.
Dalam kebanyakan kes Chong akan menghubungi ah long yang berkenaan supaya tidak terus mengganggu perempuan-perempuan tersebut.
"Saya katakan kepada mereka kalau mereka tak berhenti saya akan buat laporan mereka memperdagangkan manusia. Biasanya ah long ini akan bagi saya banyak alasan dan menyalahkan perempuan itu," kata Chong.
Peminjam Melayu
Bila bercakap tentang ah long, lazimnya orang akan mengaitkan ceti haram ini dengan orang Cina.
Anggapan ini tidak tepat. Chong sendiri menggeleng-gelengkan kepalanya dan menyoal "Saya tak faham mengapa orang Melayu terutama perempuan Melayu pinjam wang dari ah long dan bilangan kes meningkat berbanding orang Cina. Tolonglah kaji perkara ini."
Menurut Chong, daripada 10 orang Melayu yang datang ke pejabatnya kerana masalah hutang dengan ah long, empat adalah perempuan dan mereka berhutang dengan ah long kerana disuruh suami masing-masing!
Berbanding peminjam Cina di mana hanya dua atau tiga sahaja perempuan daripada 10 peminjam Cina yang datang ke pejabatnya.
"Itu pun angka-angka yang saya ada hanyalah segelintir daripada yang ada di luar sana," katanya.
Profil peminjam Melayu yang ada dengan Chong menunjukkan kebanyakan mereka pengusaha kecil gerai dan pekerja restoran.
Jumlah pinjaman antara RM20,000 dan RM30,000 dan ada juga sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
"Orang Melayu meminjam bukan untuk berjudi, ramai yang lebur kerana skim cepat kaya.
"Mereka nak jadi kaya cepat, nak hidup mewah", kata Chong sambil menambah orang India juga berhutang dengan ah long untuk tujuan yang sama seperti orang Melayu.
Statistik pinjaman
Berdasarkan perangkaan kes ah long yang dikumpul Chong, terdapat penurunan terutama, katanya pada 2009 apabila Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilantik Menteri Dalam Negeri.
"Kes ah long jatuh mendadak kerana beliau mengisytiharkan perang ke atas ah long. Jumlah kes ah long yang kami kendalikan pada 2009 hanya 487 kes dan 2010, 302 kes," kata Chong.
Angka-angka tersebut jelas lebih rendah berbanding 503 kes pada 2006, 539 kes pada 2007 dan 636 kes pada 2008.
Menurut Chong, kes ah long terus menurun pada 2010 kerana ramai ah long yang 'gulung tikar', sebahagian besarnya kerana banyak hutang tidak dibayar.
Daripada 10 yang meminjam daripada ah long, dua atau tiga orang, katanya akan cabut, tak bayar hutang.
"Bagi saya orang yang macam ni bukan peminjam. Mereka juga bukan mangsa. Mereka sebenarnya adalah penipu. Mereka ambil duit ah long dan cabut lari tak bayar.
"Yang menjadi mangsa kemudiannya ialah isteri, anak-anak dan ibu bapa mereka.
"Persoalan sekarang siapa mangsa? Siapa penipu? Prinsip sejagat pinjam duit orang mesti bayar balik, " kata Chong sambil menambah dalam kebanyakan kes beliau akan membantu berbincang dengan ah long tentang bayaran balik hutang.
Tak bagi muka
Bagaimanapun, beliau menegaskan dalam banyak kes, dia tidak bagi muka kepada mereka yang berhutang dengan ah long.
"Datang jumpa saya mesti bawa duit. Jangan datang kata akan bayar bila ada kerja atau nak cari kerja dulu baru nak bayar.
"Ada orang cakap nak jumpa Micheal Chong mesti ada duit atas meja. Memang betul. Tak ada wang tak boleh bincang. Kalau tak ada wang macam mana saya nak berunding dengan ah long.
"Dah banyak kali saya kena main. Ada yang minta tempoh seminggu untuk bayar, kemudian lesap dan ah long datang beratur depan pejabat saya, macam saya pula yang berhutang," tegas Chong.
- mkini
No comments:
Post a Comment