Wednesday, March 6, 2013

BL1M – Satu Lagi Projek yang Memperkayakan Kroni UMNO


Kenyataan Akhbar
5 Mac 2013

Pada 31hb Januari 2013, BL1M (Bantuan Lesen 1 Malaysia) yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Program ini dikatakan akan mengurangkan beban golongan belia yang ingin memiliki lesen motosikal (kelas B2), dengan pengurangan yuran ujian dari RM261 kepada RM199. MYEG Services Berhad telah dilantik untuk mentadbir dan melaksanakan program tersebut.

Namun, setelah meneliti dokumen-dokumen dan maklumat berkenaan, pihak kami mendapati bahawa BL1M merupakan satu penipuan! Ia adalah satu program yang bertujuan untuk mengaut keuntungan dan memperkayakan kroni UMNO. Kerajaan atau pihak Pemuda UMNO langsung tidak mengeluarkan sebarang dana untuk membantu anak muda mendapat lesen. Pengurangan sebanyak RM62 (dari RM261 kepada RM199) itu terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha institut memandu.

IM tanggung kerugian, MYEG mengaut keuntungan
Apa yang lebih memeranjatkan adalah yuran RM199 yang dibayar kepada MYEG Services Berhad tidak diberikan sepenuhnya kepada pengusaha institut memandu. Menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), MYEG hanya menawarkan harga yang amat rendah iaitu RM100 setiap orang calon kepada pengusaha institut memandu. Ini bermakna para pengusaha institut memandu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM161 (dari RM261 kepada RM100) untuk menyediakan lesen untuk peserta BL1M ini.

Walaupun MYEG mengambil RM99 dari setiap peserta BL1M, kami difahamkan bahawa MYEG hanya menyediakan ujian undang-undang berkomputer untuk para peserta BL1M, di mana harga ujian tersebut hanya RM17. Sekiranya peserta berjaya lulus ujian dalam cubaan pertama, MYEG akan mendapat keuntungan bersih sebanyak RM82. Jika sasaran Pemuda UMNO tercapai, iaitu seramai 500 ribu anak muda menyertai program ini, MYEG akan mendapat keuntungan puluhan juta dengan kadar sekelip mata.

Setelah carian syarikat dilakukan, kami dapati bahawa salah seorang pemegang saham utama MYEG Services Berhad adalah Dato’ Raja Munir Shah bin Raja Mustapha. Dato’ Raja Munir Shah merupakan seorang pemimpin aktif UMNO Pulau Pinang. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, ahli majlis MPPP dan sebagainya. Beliau merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjong sehingga kini.

Keselamatan jalanraya dikompromikan
Selain daripada penyelewengan yang melibatkan kroni UMNO, program ini juga akan membawa natijah yang negatif kepada keselamatan jalanraya. Oleh sebab pengusaha-pengusaha institut memandu terpaksa menerima yuran yang tidak mencukupi, kualiti pengajaran dijangka akan menurun. Sebelum kualiti pengajaran menurun, kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal sudah mencapai 70%. Sekiranya BL1M ini dilaksanakan, pastinya peratusan kemalangan motosikal akan naik mendadak.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan begitu prihatin kepada keselamatan jalanraya, sehingga AES yang mendapat bantahan hebat tetap dilaksanakan. Kenapa tidak ada sebarang respon daripada Menteri dalam hal ini?

Integriti ala Najib
Kami mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan program BL1M yang mempunyai unsur penipuan. Kami juga berasa kecewa dengan Pemuda UMNO yang sanggup menggadaikan keselamatan anak-anak muda di jalanraya semata-mata hendak mengaut keuntungan. Justeru itu, kami mendesak Menteri Pengangkutan agar jangan menjadi boneka kepada Pemuda UMNO dan memberhentikan program ini dengan kadar segera.

Penyelewengan ini telah memberi satu tamparan besar kepada Dato’ Seri Najib yang baru menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya melalui Transparency International Malaysia. Program yang seharusnya membantu rakyat akhirnya dijadikan program yang memperkayakan kroni, apakah ini yang dimaksudkan oleh Najib sebagai integriti?

Sekiranya Dato’ Seri Najib ikhlas dalam membanteras rasuah dan mempertingkatkan integriti, beliau wajib mengambil tindakan tegas terhadap orang yang bertanggungjawab atas program ini.

YB CHANG LIH KANG
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
ADUN Teja


BL1M: Pemuda Umno jerat institusi memandu untuk kaut untung

(Oleh Aisha Geoffrey)
PETALING JAYA 5 MAC: KEADILAN mendedahkan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) merupakan skim penipuan ilhamPemuda Umno.

Skim itu digunakan sebagai ruang mengaut keuntungan dan menindas pengusaha institut memandu.

Bercakap pada sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang berkata, melalui skim itu, yuran ujian memandu dikurangkan dari RM261 kepada RM199.

Dedahnya, kerajaan langsung tidak mengeluarkan sebarang dana, malah pengurangan sebanyak RM62 (RM261 kepada RM199) terpaksa ditanggung sendiri oleh pengusaha institut memandu.

“Setelah meneliti dokumen dan maklumat berkaitan, kami dapati BL1M merupakan satu penipuan. Program ini bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengkayakan kroni Umno,” kata Lih Kang di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi ini.

BL1M dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 31 Januari lalu anjuran Pemuda Umno.

Dikatakan, melalui program tersebut, beban golongan belia yang ingin memiliki lesen motosikal (kelas B2) akan dikurangkan.

Dedah Lih Kang lagi, MYEG Services Berhad dilantik bagi mentadbir dan melaksanakan program itu.

“Antara pemegang saham dalam MYEG termasuklah syarikat Asia Internet Holdings Sdn Bhd. Salah seorang pemilik Asia Internet Holdings merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung dari 1997 hingga 2004 iaitu, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha,” kata Lih Kang.

“Yuran RM199 yang dibayar kepada MYEG tidak diberikan sepenuhnya kepada pengusaha institut memandu. Menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), MYEG hanya menawarkan RM100 kepada institut memandu, dan RM99 kepada kepada MYEG,” jelas Lih Kang.

“Ini bermakna para pengusaha terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM161 (dari RM261 kepada RM100) untuk menyediakan lesen kepada peserta BL1M,” katanya.

Pengusaha tolak tawaran Pemuda Umno
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, melalui proses ujian memandu MYEG hanya menyediakan ujian undang-undang berkomputer berjumlah RM17, dan sekiranya peserta berjaya lulus ujian dalam cubaan pertama, MYEG akan mendapat keuntungan bersih sebanyak RM82 (RM99-RM17).

“Jika sasaran Umno tercapai, iaitu seramai 500,000 anak muda menyertai program itu, MYEG akan mendapat keuntungan puluhan juta dalam sekelip mata,” katanya.

Pendaftaran bagi program itu dimulakan pada 1 Februari lalu dan sepatutnya tamat pada 15 Februari tetapi dilanjutkan sehingga 1 Mac. Sehingga 15 Februari, seramai 103,000 pemohon memohon.

Bagaimanapun, menurut Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail, Pima tidak bersetuju dengan tawaran yang dibuat Pemuda Umno dan kerajaan, malah menolak pelaksanaan program yang akan merugikan para pengusaha itu.

“Jadi apa status 103,000 pemohon yang telah membayar yuran? Pemuda Umno dapat wang dan masukkan terus ke akaun MYEG, tetapi pembelajaran tidak akan bermula selagi pengusaha institut memandu tidak mahu melaksanakan program itu,” kata Aishah.

“Kita tuntut penjelasan terperinci dalam kadar segera dari Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, dan Perdana Menteri berhubung isu ini,” kata Aishah lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46484

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular