Sunday, June 19, 2011

PRU 13: PKR bertekad tanding 97 kerusi parlimen


SHAH ALAM: PKR bertekad untuk bertanding di semua 97 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti, kata Timbalan Presiden Azmin Ali.
Katanya, PKR juga berpendirian bahawa kerusi di mana terdapat para pengundi bercampur adalah milik parti. Inilah pendirian PKR dan telah diterima serta dipersetujui oleh rakan PAS dan DAP.


“Bagaimanapun, kerusi yang ditandingi oleh PKR mungkin akan bertukar dengan DAP dalam PRU ke 13,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR di sini hari ini.

Menurut Azmin, keputusan PKR bertanding 97 kerusi telah dipersetujui oleh DAP dan PAS kerana ia merupakan formula yang digunakan dalam PRU 2008.

Bagaimanapun, beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi masih berjalan dan berharap dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Di beberapa buah negeri, rundingan pembahagian kerusi sesama Pakatan Rakyat sudah selesai, malah ada yang telah menghantar senarai calon kepada parti.

“Senarai calon itu akan diserahkan kepada Presiden (Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail) untuk diteliti sebelum ditentukan oleh biro politik PKR,” katanya.

Bagaimanapun, Azmin menegaskan mungkin tidak semua wakil rakyat PKR, baik ahli parlimen atau negeri akan dikekalkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dan kurang disenangi rakyat mungkin digugurkan.

Beliau berkata, kemenangan PKR dalam PRU ke 12 bukan faktor calon sebaliknya kerana rakyat mahu sistem dua parti diamalkan dalam demokrasi di negara ini.

PKR menang 31 kerusi parlimen pada 2008. Bagaimanapun enam anggota melompat dan menjadi wakil rakyat bebas selepas itu. FMT

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular