Wednesday, June 8, 2011

Negara Islam sepatutnya sudah sebati dengan tadbir urus baik

ASTANA (Kazakhstan): Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara-negara Islam sepatutnya sudah sebati dengan tadbir urus yang baik kerana ia sudah menjadi amalan mereka sejak 1,400 tahun lepas.

Mengimbau sejarah, Perdana Menteri berkata, khalifah keempat, Saidina Ali bin Abi Talib yang juga menantu Nabi Muhammad S.A.W, pernah memberitahu Gabenor Mesir, Malik as-Ashtar, bahawa pentadbirannya akan hanya berjaya jika beliau mentadbir berasaskan keadilan, kesaksamaan, kejujuran dan kemakmuran untuk semua termasuk wanita.

“Maka, sebagai negara Islam, kita sudah lama tahu bahawa nilai-nilaiini bukannya sekadar menjadi ikutan negara demokrasi Barat,” katanya dalam satu ucapan khas pada upacara perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di sini hari ini.

Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev merasmikan forum itu yang turut dihadiri beberapa ketua kerajaan dan 2,000 peserta dari 50 negara termasuk 250 orang dari Malaysia.

Najib berkata bahawa pentadbiran berasaskan keadilan, kesaksamaan dan kejujuran seperti yang diperintah oleh Saidina Ali, bukan bererti ia mengikut telunjuk Barat tetapi bertindak berlandaskan ajaran Al Quran.

Namun, menurut Najib, itu tidak bermakna bahawa mengamalkan ajaran Ali itu dalam dunia moden sekarang ini tidak akan berdepan dengan cabaran.

“Dalam sebuah dunia yang penuh dengan pengaruh politik, persaingan dan peluang tidak seimbang, pertalian keluarga, sifat tamak, serta peraturan dan syarat serta penguatkuasaan yang lemah, langkah ke arah tadbir urus yang baik ini nampaknya lebih sukar dialaksanakan,” katanya.

Malahan, kata Perdana Menteri, kepatuhan kepada perintah Allah pun adakalanya tidak menjamin seseorang itu akan berpegang kepada prinsip integriti.

Katanya sebagai pemimpin politik dan negarawan, terpulang kepada mereka untuk menunjukkan kesungguhan, dedikasi, komitmen dan keinginan untuk melakukan apa yang betul dan membetulkan apa yang tidak betul selain bagi mencegah rasuah, kerahsian dan tawar -menawar sulit daripada menjadi satu amalan dalam masyarakat.

Pendekatan baru
“Jika sesuatu kerajaan itu mahu bertahan dan maju serta memenuhi aspirasi rakyat terutama golongan muda, kita harus mencari pendekatan baru dan model baru ekonomi yang sesuai dengan kekuatan negara kita masing-masing,” kata Najib.

Beliau berkata kerajaan Malaysia telah menunjukkan jalan dengan melaksanakan beberapa langkah penyesuaian dan transformasi bagi membuktikan betapa pentingnnya tadbir urus yang baik dapat berperanan secara positif dalam meningkatkan daya saing sesebuah negara itu.

Antara tindakan yang dilaksanakan oleh Malaysia ke arah itu ialah memperkenalkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Penunjuk
Prestasi Utama, menaik taraf badan pencegah rasuah (kini Suruhanjayan Pencegahan Rasuah Malaysia) dan menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Kerajaan Malaysia, kata Najib, memberi ruang dan menyambut baik cadangan daripada institusi, pertubuhan agama, kumpulan minoriti, media dan sektor perniagaan.

“Kami sedar perjalanan kami masih jauh dan mempunyai banyak rintangan. Tetapi komitmen dan keazaman kami untuk maju tidak akan pudar,” katanya.

Mengenai WIEF, beliau berkata, ia merupakan satu forum yang wajar untuk mewujudkan kesedaran, berkongsi pengalaman dan merintis idea baru bagaimana tadbir urus yang baik dapat disebarkan dan diamalkan oleh pemimpin, sektor perniagaan dan rakyat.

Katanya prinsip-prinsip itu perlu menjadi satu proses berterusan sehingga tadbir urus yang baik menjadi nilai utama semua negara Islam.

“Pada masa itulah, negara dapat berkembang, umat Islam akan lebih maju dan masyarakat menjadi adil,” kata Najib.

Perdana Menteri juga berkata berdasarkan unjuran Bank Dunia, ekonomi dunia dijangka berkembang 3.3 peratus tahun ini dan 3.6 peratus tahun hadapan tetapi agihan kekayaan dunia adalah tidak seimbang kerana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara -negara Islam hanyalah 2.1 peratus pada 2009.

Beliau menyifatkan kadar itu sebagai rendah dan ini diburukkan lagi dengan pembangunan dan agihan kekayaan dan pendapatan tidak seimbang di negara Islam sendiri.

Najib berkata bahawa daripada segi memudahkan urusan dan peraturan perniagaan, hanya Arab Saudi, Malaysia, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu dalam kalangan negara anggota Pertubuhan PersidanganIslam berada dalam kelompok 40 teratas daripada 183 negara manakala Kazakhstan telah mengambil tindakan paling banyak ke arah itu.
- Bernama


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular