Wednesday, June 8, 2011

RUMAH PPRT FELDA RM4 JUTA SEUNIT?


PARTI Maju Sabah (SAPP) mempersoal kredibiliti FELDA membawa pembangunan serta kemakmuran kepada Sabah, ekoran masalah projek milik agensi itu yang tidak siap sepenuhnya.

Penolong Setiausaha Agung SAPP, Suaib Mutalib berkata, kredibiliti FELDA terjejas kerana projek penempatan masyarakat yang telah dijanjikan di Lahad Datu tidak siap sepenuhnya, malah membazir wang sahaja.

“Pada 2006 Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri telah melancarkan projek penempatan masyarakat milik FELDA bernilai RM50 juta di Lahad Datu.

“Najib berjanji bahawa sebanyak 350 unit rumah lengkap dengan segala kemudahan akan dibina, tetapi sehingga ke hari ini hanya 12 buah rumah sahaja yang telah disiapkan.

“Lebih teruk lagi kesemua rumah bertaraf ‘Kelas Kandang Kambing’ itu tidak dilengkapi dengan kemudahan asas seperti air dan letrik, manakala jalan raya pula tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad baru-baru ini bahawa FELDA telah melancarkan projek pembaikan perumahan miskin bernilai RM20 juta dengan membina sebanyak 150 unit rumah di Tungku, Lahad Datu.

Isa dilaporkan sebagai berkata bahawa projek itu adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat FELDA yang akan memulangkan semula sebanyak 30 peratus keuntungan kepada rakyat dalam usaha membantu Kerajaan Sabah membasmi kemiskinan.

Suaib berkata, beliau tidak mempersoalkan usaha FELDA membantu Kerajaan Sabah tetapi hanya ingin tahu bagaimana kesudahan projek di Sabah Baru itu yang bernilai RM50 juta.

“Jika dikira secara kasar, saya dapati 12 buah rumah yang telah siap itu walaupun tanpa kemudahan asas bernilai lebih RM4 juta seunit. Persoalan sekarang ialah adakah masuk akal seunit rumah kos rendah boleh menelan kos sehingga lebih RM4 juta?” soal Suaib.

Suaib seterusnya ingin bertanya samada projek perumahan di Lahad Datu itu akan disiapkan atau dibiarkan sahaja begitu?

Katanya, jika projek di Lahad Datu itu tidak dapat disempurnakan besar kemungkinan projek lain di mana-mana sahaja kawasan di negeri ini juga akan menerima nasib yang sama.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular