Thursday, June 9, 2011

Puteri umno kecam Kelab Isteri Taat kerana pentingkan NAFSU semata-mata


[BH] KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mengecam penubuhan Kelab Isteri Taat yang dilihat hanya mementingkan nafsu semata-mata untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata penubuhan kelab yang kononnya untuk mengajar wanita menjadi setia dan menjalankan tanggungjawab terhadap suami adalah usaha sia-sia serta tidak sejajar dengan tuntutan Islam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Islam menuntut suami menghormati isteri dan bukannya menjadikan isteri objek seks dalam rumah tangga.

“Adakah dengan hanya pandai melayan suami di atas katil menjadikan rumah tangga bahagia dan adakah hanya isteri saja yang mesti pandai melayan suami, bagaimana pula dengan peranan suami di atas katil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed baru-baru ini mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’. 

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak sehingga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim meminta Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab berkenaan. 

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa wanita tidak menyertai kelab berkenaan kerana menyamakan tugas isteri melayan suami seperti tugas pelacur melayan pelanggan. 

Sambil menyifatkan kenyataan itu ibarat meletakkan martabat seorang isteri serendah pelacur, Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang, berkata isteri bukan pekerja seks bagi suami kerana tugas isteri melayan suami adalah satu ibadat yang diberi ganjaran pahala daripada Allah.

“Walaupun suami diwajib memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit, ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular