KUALA LUMPUR, 7 Jun — Datuk Muhkriz Mahathir melahirkan rasa tidak gembirapartinya dengan pendirian kepimpinan baru PAS yang tidak berminat dengan idea perpaduan Melayu, sambil menekankan parti itu berdegil “untuk memecahbelahkan orang Melayu demi kepentingan sendiri.”
Bagaimanapun timbalan pengerusi Umno Kedah itu melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) boleh mengatasi PAS meskipun mereka ada barisan kepimpinan baru khususnya di Kedah.
“Kami gembira kerana kami merasakan ada peluang lebih baik dengan barisan baru ini.
“Keduanya, kami tidak gembira kerana jika mereka tidak mahu perpaduan dan ia tidak akan berlaku... ini kerana mereka degil dalam memecahbelahkan Melayu bagi kepentingan mereka sendiri, dan sedih untuk melihat perkara ini berlaku,” katanya.
“Dari sudut perpaduan, saya merasakan mereka telah mengetepikan idea (perpaduan),” kata Mukhriz (gambar) yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri.
Kelmarin, meskipun PAS terus menolak kerjasama dengan Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi bahawa pintu komponen BN itu masih terbuka kepada parti Islam tersebut untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Timbalan presiden Umno itu berkata, idea berkenaan adalah demi Islam, bukan kerana kepentingan politik.
Dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.
“PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS,” kata beliau.
Kata Hadi, ia melibatkan satu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.
“Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat,” katanya.
Sejak pilihan raya umum 2008, PAS menerima pelawaan demi pelawaan sama ada secara langsung daripada Umno sendiri ataupun daripada pihak-pihak yang pro-Umno termasuk beberapa tokoh agama agar ia meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama BN atau berganding dengan Umno.
Idea itu termasuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno. - TMI
No comments:
Post a Comment