Saturday, June 11, 2011

TAHNIAH YUSOF MAHAL, TAKZIAH NONG CHIK

Oleh : AWANG AHMAD MAZLAN
Majoriti penduduk Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Malaysia (Labuan) setelah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan menggantikan Dato’ Ahmad Phesal Bin Talib; sekalipun dicemari dengan pelbagai Skandal.



Jurucakap mereka, Arif Buang, ketika menghubungi Sabahkini.net mengalu-alukan perlantikan seorang ‘pengkhianat’ kepada rakyat Labuan ke jawatan penting berkenaan yang mencerminkan UMNO adalah parti yang semakin rosak dan berimej samseng.


“Rakyat sudah bantah terutama kegagalan Yusof menyiapkan dua projek penting di Labuan termasuk Pasar Labuan sehingga kes ini diseret ke mahkamah. Sekalipun kesnya akan ditentukan pada 9 Ogos 2011, tetapi perlantikannya dilakukan untuk menutup kes rasuah dan kes mahkamahnya,” kata Arif yang kesal kerana Ketua Setiausaha Negara tidak langsung mempedulikan keluhan rakyat Labuan.


Dengan perlantikan Yusof sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan, kata Arif, jelas menunjukkan bahawa BN terutama UMNO tidak lagi memerlukan undi rakyat Labuan dan beliau terpaksa menjadi pembela rakyat Labuan setelah keahlian UMNOnya digantung kerana membuat kenyataan terbuka mengecam UMNO dalam SabahkiniTV yang dimuat naik ke Youtube.


“Penggantungan jawatan saya sebagai Ketua Cawangan UMNO atau pemecatan saya kelak tidak memberikan sebarang makna kepada saya tetapi nasib rakyat Labuan akan terbela dengan tindakan kejam mereka; apatah lagi melalui perlantikan Yusof,” ujar Arif yang akan menemui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat laporan rasmi kerana meyakini ada sesuatu yang tidak kena dengan perlantikan Yusof sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan.


Kata Arif, bagaimana dengan kes penyelewengan RM4 juta wang pendahuluan yang dilakukan oleh Yusof sedangkan sebelum ini Perbadanan Labuan bercadang untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.


“Apakah RM4 juta tersebut sudah dilupuskira? Kenapa Ketua Audit Negara berdiam diri? Apakah beliau turut bersubahat?,” tanya Arif yang berjanji akan terus bersuara bagi pihak ahli UMNO dan rakyat Labuan sekalipun dipecat daripada UMNO kelak.


Mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa pembangkang kini menggunakan media alternatif seperti Twitter dan Facebook bagi menjatuhkan pemimpin Umno; Arif berkata bahawa hanya media baru seperti Internet adalah satu-satunya jalan keluar bagi rakyat meluahkan ketidak puasan hati kerana media arus perdana telah mengamalkan dasar ‘Media Black-out’.


“Media alternatif bukan sahaja senjata penting untuk pembangkang, malah pemimpin UMNO seperti Raja Nong Chik yang menumpang tuah Perdana Menteri kerana dilantik sebagai menteri harus melayan media alternatif jika masih ingin terus berpolitik,” ujar Arif yang yakin Raja Nong Chik akan mengakhiri karier politiknya tidak lama lagi.


Mengenai dakwaan Raja Nong Chik bahawa beliau telah ditohmah sebagai ‘Pengkhianat bangsa Melayu’, Arif berkata memang ada benarnya kerana Raja Nong Chik turut menjadi pengkhianat rakyat Labuan yang ‘dijual’ secara pukal kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjadi ‘haiwan uji politik dengan melantik seorang ‘Pengkhianat’ memegang jawatan penting di institusi yang menentukan jatuh bangunnya Labuan sebagai IOFC.


“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada kerjaya politik Raja Nong Chik tidak lama lagi,” kata Arif yang bersedia untuk berhadapan dengan apa juga penindasan daripada kerajaan BN termasuk UMNO.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular