Thursday, June 9, 2011

Fahaman Al-Arqam bertiup kembali, wakil Kelab nafi dakwaan


RAWANG: Wakil Kelab Taat Suami di Malaysia Fauziah Ariffin menafikan dakwaan bahawa penubuhan kelab itu mempunyai kaitan untuk menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan Malaysia sejak tahun 1994 lalu.

Menurut Fauziah kumpulan terbabit sudah lama terkubur malah sebahagian besar pengikutnya sudah tiada.
Fauziah berkata isu itu timbul disebabkan persepsi segelintir masyarakat bahawa kelab itu ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli Al-Arqam melalui organisasi iaitu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

“Pengharaman Al-Arqam dahulu lebih kepada isu politik dan sekarang bila ada orang suarakan tentang Islam dan kembali kepada Tuhan mula orang akan berkata ini mesti Al-Arqam. 

Dulu ketika buka syarikat dengan nama Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd pun orang kata kami nak cuba hidupkan fahaman Al-Arqam.

“Secara kebetulan Pengerusi Eksekutif Rufaqa’ adalah Abuya Ashaari. Pokoknya sekarang Al-Arqam sudah terkubur dan ia hanya satu persepsi segelintir masyarakat terhadap kumpulan ini. Sebahagian besar pengikut dan pemimpin kanannya sudah tiada.

“Pada pandangan saya sudah menjadi hak kepada semua manusia untuk mengamalkan agama dianuti serta mengajak mereka (manusia) kembali kepada fitrah. Ia bukan sesuatu yang dicipta atau kita nak hidupkan Al-Arqam.

“Kerajaan sudah mengharamkan dan mereka telah berjaya dengan kebanyakkan pengikut dan pemimpin mengikuti kursus pemurnian akidah,” katanya melalui temuramah bersama FMT di ibu pejabat Global Ikhwan di Bandar Country Homes di sini.

Semenjak kematian pengasas fahaman Al-Arqam yang juga Pengerusi Ekskutif Global Ikhwan Abuya Syeikh Ashaari Muhammad pada Mei tahun lalu, syarikat itu diambil alih oleh anak sulungnya Fakhrur Razi.
Kelab Isteri Taat ini mula diperkenalkan di Malaysia pada 4 Jun lalu dengan keahlian seramai 800 orang.

Ia diketuai oleh isteri arwah Ashaari, Khatijah Aam selaku Presiden serta menantunya iaitu Dr Rohaya Mohamed yang juga Naib Presiden kelab tersebut.

Kelab pertama dilancarkan adalah di Jordan pada 1 Mei lalu diikuti Malaysia dan Jakarta, Indonesia pada 18 Jun ini.

Al-Arqam dulu dan kini

Menurut Fauziah sebahagian besar anggota Al-Arqam kini berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi mereka termasuklah perniagaan, penerbit filem, penyanyi dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu Fauziah mahu masyarakat tidak cepat menilai sedangkan mereka kini merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat.

“Hasrat kerajaan untuk memurnikan fikiran kumpulan ini sudah berjaya malahan kebanyakkan daripada kami kini berjaya menjadi ahli perniagaan, penerbit filem,penyanyi dan menjadi sebahagian anggota masyarakat.

“Kami ikut arus perdana dan tiada lagi memakai purdah seperti dahulu.

Perniagaan Abuya juga diwarisi oleh bekas anggota Al-Arqam yang merupakan orang kepercayaan beliau. Global Ikhwan kini berkembang dengan 1,000 syarikat di seluruh dunia seperti di Jordan, Indonesia, Thailand, Jerman…. manakala di Malaysia sahaja ada 500 premis,” katanya.

Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian dan kemudian diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Ashaari kemudian meninggal dunia pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru dan pelbagai aktiviti perniagaannya kini diambil alih oleh isteri dan anak-anak beliau. - FMT

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular