Tuesday, June 7, 2011

Siapa yang retorik? Siapa yang temberang?

Najib Razak dipetik oleh media perdana berkata, slogan baharu PAS untuk mewujudkan negara berkebajikan bukan sesuatu yang baharu kerana sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak sekian lama.



“Label saja negara kebajikan (oleh PAS), tetapi apa yang kita (kerajaan) buat dalam bidang kesihatan, pendidikan, subsidi makanan, minyak dan sebagainya adalah ciri negara kebajikan yang diperjuangkan kerajaan sejak dulu,” katanya kepada wartawan Malaysia di Kazakhstan, semalam.
Fuh!


Memang benar, Kerajaan BN memperuntukkan sejumlah dana atau wang untuk tujuan kebajikan dalam pelbagai sektor. Namun, jumlah yang diperuntukkan itu kecil dan dalam masa yang sama mereka memperuntukkan sejumlah dana yang besar sebagai subsidi kepada syarikat kroni. 


Dalam bidang pelajaran, pelajar kini terpaksa meminjam wang dari PTPTN yang dilabelkan oleh sesetengah orang sebagai "ah long kerajaan". Dalam bidang pertanian, ada kes subsidi diagihkan kepada pihak yang menyokong kerajaan sahaja. 


Dalam bidang perikanan, subsidi diesel telah ditarik atas pelbagai alasan remeh. Dalam hal ehwal kesihatan, rakyat berpendapatan rendah dan sederhana masih perlu "meminta sedekah di TV dan akhbar" untuk membiayai kos perubatan. Harga bahan bakar dan bil utiliti semakin meningkat. Kesannya, harga barang dan perkhidmatan melambung.

Cukuplah...pembaca boleh menyambung cerita "kebajikan" Kerajaan BN kepada rakyat di negara ini.

Dalam laporan di KD, Pensyarah Kanan Jabatan pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, banyak dasar negara di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, gagal mencapai matlamat. Dalam masa yang sama, katanya, kebajikan rakyat terus dipinggirkan seperti langkah penarikan balik subsidi, sekaligus bertentangan dengan hasrat negara mencapai status negara maju.

“Kita boleh lihat banyak dasar yang gagal, contohnya dasar perumahan negara. Rumah dibina, tetapi boleh ‘membunuh’ kita. Sistem pengangkutan awam teruk. Kadar jenayah meningkat.

“Walhal dengan takrif menuju negara maju, sepatutnya Malaysia telah lama menyelesaikan masalah ini. Takrif negara maju ialah kebajikan yang tak harus menjadi beban. Subsidi adalah kebajikan. Negara maju adalah negara mengutamakan kebajikan rakyatnya,” tegas Abu Hassan.

Menurut nya lagi, pada masa depan, keputusan politik yang ditentukan pengundi tidak lagi bersandar pada isu peribadi, tetapi melibatkan soal ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Pengundi melihat ke arah mana ekonomi negara ini dipacu. Penarikan subsidi dibebankan lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan. Dalam masa sama upah kerja tidak meningkat. Ini yang mencengkam kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Beliau memberikan contoh polisi ekonomi dan politik di negara Eropah yang lebih mengutamakan kebajikan rakyatnya, berbeza daripada Malaysia yang mempunyai sumber kekayaan yang banyak.

“Jika dibandingkan dengan sumber hasil bumi, Malaysia sebenarnya jauh lebih kaya dan berpotensi melebihi negara-negara berkenaan. Justeru mana silapnya?

“Berbanding negara-negara di Eropah yang serius menjaga kebajikan rakyatnya, ia dibuktikan dengan dasar pendidikan percuma dan yuran murah melanjutkan pengajian di Universiti,” katanya yang juga pengasas Zentrum Future Studies, sebuah pusat kajian masa depan mengenai politik dan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau memberikan contoh laporan akhbar minggu lalu mengenai kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori roti di Terengganu, di mana Penduduk kampung berhampiran lokasi kemalangan berebut-rebut untuk mengambil muatan yang ditinggalkan.

“Perkara ini menunjukkan beban kehidupan meningkat sehingga rakyat terpaksa mengambil apa jua kesempatan untuk meringankan beban, sekali pun dilihat tidak berakhlak,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi terutamanya golongan muda supaya mengubah situasi politik hari ini, ke arah politik baru demi kesejahteraan rakyat.

“Politik baru ialah politik harapan masa depan yang menjamin kebebasan dan kesejahteraan. Politik baru ialah politik tanpa monopoli. Pengundi harus membuat penilaian ini,” tegasnya. - DCM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular