TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said mengingatkan ahli Umno jangan berasa syok sendiri dengan kedudukan dan kejayaan yang dicapai, sebaliknya meningkatkan usaha memperkasa perjuangan membela nasib rakyat.
Selain itu, beliau mengkritik sikap segelintir pemimpin dan ahli parti yang berlagak sombong kerana ia boleh menyebabkan rakyat muak dan berpaling tadah.
"Isu-isu nasional boleh mengubah pendirian pengundi. Kita tidak boleh syok sendiri. Keadaan hari ini sudah berbeza, minda pengundi boleh berubah-ubah mengikut keadaan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Belud kelmarin.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata, sikap sombong perlu dikikis demi mendekatkan parti dengan rakyat, sejajar pesanan pucuk pimpinan yang mahukan setiap pemimpin turun ke akar-umbi sepanjang masa dan bukannya bermusim.
"Pemimpin-pemimpin parti peringkat bawah mesti diminati masyarakat dan insyaallah, parti akan jadi `Winnable Party'. Kita mesti komited kepada perjuangan dan bukan mementingkan politik peribadi semata-mata," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata semua pemimpin dan ahli Umno perlu bersatu dan mengutamakan parti, dengan berdiri teguh di belakang kepemimpinan seorang ketua.
"Parti adalah segala-galanya. Bukan puak, bukan kelompok dan bukan keturunan. Maka kita perlu bina pasukan, bukannya kumpulan. Untuk itu, kita mesti tolak prinsip politik pecah dan perintah," tegasnya.
Sambil mengulangi pendirian menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, Salleh turut mengingatkan rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan dakyah parti lawan yang melemparkan pelbagai fitnah dan pembohongan.
Katanya, parti lawan sekadar berjuang untuk kepentingan politik mereka dan individu tertentu saja, bukannya bertujuan membela nasib rakyat sebagaimana dilaksanakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata Umno dan BN jauh lebih baik berbanding parti lawan, baik dari segi rekod mahupun pencapaian selama ini.
Katanya, pakatan pembangkang tidak mungkin dapat menandingi BN kerana mereka berlainan ideologi dan perjuangan.
"DAP dengan ideologinya, PKR dengan perjuangan untuk pemimpinnya, Pas dengan sentimen keagamaannya. Mereka tidak mungkin dapat tidur sebumbung untuk jangka masa lama. Lihatlah apa yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor," katanya.
Menurutnya, pakatan pembangkang hanya didominasi oleh DAP, manakala PKR dan PAS cuma menjadi kuda tunggangan.
Sebab itu, kata beliau, kini semakin ramai pemimpin dan ahli parti pembangkang telah meninggalkan parti itu dan menyertai perjuangan BN.. - sabahkinimirror
No comments:
Post a Comment